News

Proton Ertiga – MPV Kompak EEV Pertama di Malaysia! Dari Harga RM58k

Proton Ertiga (1)

Proton baru sahaja melancarkan Proton Ertiga yang merupakan model pertama hasil kerjasama Proton dan Suzuki Motor Corporation Japan.

Ia didatangkan dalam 2 varian – Executive (manual [MT] dan automatik [AT]); dan Executive Plus (AT) dengan harga bermula dari RM58,800 hingga RM64,800 di Semenanjung Malaysia.

Proton Ertiga (13)

Proton Ertiga ialah MPV kompak pertama Malaysia berstatus Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang disahkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI). Sejajar dengan status EEV, saiz tangki yang mencukupi iaitu 45 liter membolehkan kereta ini bergerak lebih jauh.

Proton Ertiga (10)

Kereta famili dengan 6 tempat duduk ini dilengkapi enjin 1.4 VVT (pemasaan injap variabel) yang diperbuat daripada aluminium ringan untuk kedua-dua varian. Suntikan kuasa multipoin (MPI) menghasilkan penjimatan penggunaan bahan api pada 5.7L/100km bagi (MT) dan 6.0L/100km bagi (AT) mengikut Kitaran Pemanduan Eropah (New European Driving Cycle, NEDC) yang menggabungkan kedua-dua kitaran bandar dan luar bandar. Selain itu, teknologi drive-by-wire memantapkan lagi prestasi kereta untuk lebih responsif.

Dari segi pemanduan, anda akan dapat merasakan kehalusan kereta ini pada kelajuan 110km/h dan 2900 rpm di mana enjin agak senyap dan penyerapan bunyi jalan serta angin yang baik membuatkan pemanduan kereta lebih selesa kerana kesenyapan ketara dari segi tahap kebisingan, getaran dan kekasaran (NVH).

Proton Ertiga (12)

Dari segi dimensi pula, Proton Ertiga memiliki panjang-4265mm, lebar-1695mm, tinggi-1685mm dan jarak roda-2740mm. Jarak dasar kereta pada 185mm membantu kereta meredah permukaan bentuk muka bumi tidak rata selain memberikan sudut pandangan tinggi buat pemandu.

MPV ini telah direka khas untuk menawarkan keluasan ruang dan keselesaan bagi setiap pengguna. Ventilasi penyaman udara yang luas di barisan kedua memastikan udara sampai sehingga ke barisan ketiga bersama ruang atas yang luas serta ruang letak kaki yang cukup selesa untuk menampung 2 orang dewasa.

Proton Ertiga (3)

Tuil akses pintar dengan satu sentuhan pada kerusi barisan kedua membolehkan penumpang masuk atau keluar dengan cepat dan mudah ke barisan ketiga.

Tempat duduk belakang boleh lipat bukan sekadar menyediakan kepelbagaian susunan tempat duduk, tetapi juga mewujudkan ruang kabin yang mencukupi untuk memuatkan barangan lebih muatan, di mana barisan kedua dan ketiga boleh dilipat secara 60:40 dan 50:50 untuk menampung ruang sehingga 735 liter.

Proton Ertiga (2)

Tambahan lagi, warna cerah dan hangat mewujudkan suasana mewah dan luas di dalam kabin. Tempat duduknya pula diperbuat dari fabrik kalis air yang berkualiti tinggi untuk memastikan yang ianya bersih dan mudah dijaga.

Selain itu, MPV ini juga didatangkan dengan stereng elektrik yang boleh dilaraskan, termasuk radio/CD/MP3 dan USB/jek iPod.

Varian Executive Plus didatangkan dengan cermin sisi boleh lipat automatik, suis audio di stereng, 2 twiter, tambahan kepada 4 pembesar suara dan poket belakang kerusi bagi bahagian pemandu dan penumpang, signal belok di sebalik cermin sisi (OSRVM) dan pelaras ketinggian kerusi pemandu. Tambahan lagi, hendal pintu dalaman krom, kemasan krom pada lampu kabus serta cermin filem gelap menghasilkan rasa yang mewah.

Proton Ertiga (5)

Bagi ciri keselamatan pula, kedua-dua varian mendapat penarafan 4 bintang ASEAN NCAP dan dilengkapi dengan pelbagai ciri aktif dan pasif seperti ISOFIX dan pautan atas, 2 beg udara hadapan, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD), tingkap kuasa boleh naik automatik dan anti-jepit (di bahagian pemandu), lampu kabus hadapan dan belakang, dan sensor undur.

Proton Ertiga kini boleh dipandu uji dan ditempah di semua cawangan Proton Edar seluruh negara. Kunjungi bilik pameran Proton yang terdekat dengan rumah anda untuk memandu uji MPV terbaharu ini.

Senarai Harga Proton Ertiga:

  • 1.4L Executive MT – RM58,800 (Semenanjung Malaysia); RM61,300 (Timur Malaysia)
  • 1.4L Executive AT – RM61,800 (Semenanjung Malaysia); RM64,300 (Timur Malaysia)
  • 1.4L Executive Plus AT – RM64,800 (Semenanjung Malaysia); RM67,300 (Timur Malaysia)