Ahli perniagaan rugi ribuan ringgit, rumah dipecah masuk

0

KUCHING: Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit selepas peti besi dari rumahnya dicuri dalam satu kejadian pecah rumah kelmarin.

Menurut sumber, mangsa, 51, hanya menyedari mengenai kejadian tersebut sekitar tengah hari apabila mendapati pintu utama rumahnya di Tabuan Jaya di sini dibuka secara paksa.

Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak dan sebuah peti besi yang mengandungi wang tunai RM35,000, koleksi barangan kemas serta koleksi wang kertas dan syiling lama, lesap

Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian di balai polis berhampiran.

Manakala dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki juga membuat laporan polis selepas menyedari rumahnya di Jalan Lapangan Terbang di sini dipecah masuk awal pagi kelmarin.

Mangsa, 22, hanya menyedari kejadian tersebut apabila terbangun dari tidur dan mendapati keadaan di dalam rumahnya berselerak iaitu sekitar jam 5 pagi.

Pemeriksaan awal kemudian mendapati wang tunai RM1000 serta matawang asing miliknya telah hilang dari simpanannya.

Suspek dipercayai memasuki rumah tersebut melalui pintu hadapan berikutan terdapat kerosakan pada pintu tersebut.

Siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.