Masyarakat Kenyah diingat terus mengekalkan semangat perpaduan

0
KEMBALI BERSATU: (Dari kiri) Dennis, Danny Lawai, Jau Wan, Jabu, Anyi Ngau, Joseph Ngau dan Elizabeth saling berpegang tangan tanda sehati sejiwa.

KEMBALI BERSATU: (Dari kiri) Dennis, Danny Lawai, Jau Wan, Jabu, Anyi Ngau, Joseph Ngau dan Elizabeth saling berpegang tangan tanda sehati sejiwa.

MARUDI: Masyarakat Kenyah di Long Semiang dan di kawasan Telang Usan diingatkan supaya terus mengekalkan semangat perpaduan dan keamanan di kalangan kaum itu.

Sebalik, jika ada timbul salah faham di kalangan mereka pada masa lalu mungkin disebabkan kuasa dan sebagainya tidak wajar bagi mereka terlalu membenci seseorang itu, kerana ia boleh menjejaskan perpaduan dan pembangunan di sesebuah kampung dan rumah panjang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata apa yang berlaku, biarkanlah ia berlaku dan lupakan itu semua sebaliknya  mereka perlu membina semula pergaulan erat dan rapat bagi memudahkan memajukan rumah panjang.

“Sebaliknya kekalkan perpaduan dan damai di kalangan kita dan mengetepikan perselisihan faham kerana ia adalah perkara biasa terjadi di antara adik-beradik, saudara-mara dalam keluarga dan sebagainya.

“Jadi tidak perlu hingga kita membenci seseorang itu dan menyisihkannya sebaliknya hentikan rasa marah dan benci itu demi kebaikan semua pihak,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Long Semiang, Hulu Baram Ahad lalu.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembanguan Luar Bandar itu mengingatkan penduduk supaya menghentikan pertelingkahan antara mereka dan memberitahu bahawa beliau datang ke Long Semiang untuk menyatupadukan penduduknya jika ada pertingkahan pemikiran selama ini.

“Hasrat mahu menyatupadukan masyarakat Kenyah di Long Semiang adalah satu sebab dan agenda saya mengadakan lawatan rasmi ke kampung ini, yang dibahagikan kepada tiga blok bangunan rumah panjang dan secara rasmi Long Semiyang masih dipimpin oleh Ketua Kaumnya John Jau Wan yang akan tamat tempohnya pada tahun depan,” tambahnya.

Bagaimanapun, Jau menerima cabaran dan rintangan daripada saudara-maranya sendiri yang menjadikan situasi semakin sukar selama ini dan tidak mudah bekerjasama lebih-lebih lagi dalam soal membangunkan kampung tersebut.

Namun pada Ahad lalu, mereka sudah mulai bersatu dan sedia bekerjasama dengan satu sama lain apabila kehadiran Jabu berjaya menjernihkan keadaan.

Pada majlis tersebut yang dinamakan ‘Majlis Damai dan Perpaduan’, semua mereka yang bertelingkah diarahkan oleh Jabu untuk berdamai dan sambil memegang tangan antara satu sama lain dan disaksikan beliau sendiri.

Turut berucap Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dan ADUN Telang Usan Dennis Ngau selain Jau sendiri dan salah seorang pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Long Semiang Danny Lawai Kajan.

Majlis perdamaian turut disaksikan ketua masyarakat Temenggung Joseph Ngau Lian (Kenyah), Temenggung Elizabeth Deng (Kayan) dan Temenggung Datuk Hassan Sui (Penan).

Lebih 300 penduduk yang majoritinya suku kaum Kenyah dari kawasan Moh/Lio Mato hadir pada majlis tersebut.