TERAS mungkin ‘melobi’ dua atau tiga kerusi tambahan, kata Mawan

0

KUCHING: Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) berkemungkinan ‘melobi’ dua atau tiga lagi kerusi tambahan untuk calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom berkata, TERAS buat masa ini telah memutuskan lima kerusi dipertandingkan yang masing-masing disandang oleh wakil rakyatya.

Lima kerusi berkenaan Pakan yang disandang beliau sendiri, Tasik Biru (Datuk Peter Nansian Ngusie), Marudi (Datuk Sylvester Entrie Muran), Bekenu (Rosey Yunus) dan Batu Danau (Paulus Palu Gumbang)

“Mungkin kita akan melobi dua atau tiga kerusi (untuk Pililhan Raya Negeri) dan di kawasan berbilang kaum.

“Bagi TERAS memang kita sudah ada calon untuk lima kerusi iaitu yang disandang oleh wakil rakyat kita termasuk saya sendiri untuk Pilihan Raya Negeri nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-17 di sini, semalam.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial bersama empat wakil rakyat berkenaan menubuhkan TERAS pada tahun lepas, yang merupakan serpihan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) disebabkan perbalahan pucuk pimpinan dalam SPDP.

Mengulas mengenai peng-umuman enam calon SPDP oleh Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini, Mawan menegaskan bahawa keputusan meletakkan seseorang calon boleh menang kebiasaanya terpulang kepada pucuk kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

“Pada kebiasaanya ia terpulang kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri menentukan, calon boleh menang dan calon yang boleh bertanding iaitu mereka yang dipercayai beliau (Ketua Menteri).

“Beliau telah diberi mandat untuk membuat keputusan terakhir, maka kami (TERAS) tidak mahu membuat komen terlalu awal kerana ia boleh menjejaskan,” tegas Ahli Parlimen Saratok itu.

Sementara itu Tiong dipetik daripada Bernama kelmarin berkata, enam nama yang diumumkannya pada Majlis Makan Malam SPDP di sini semalam bagaimanapun tidak menjamin kedudukan mereka sebagai calon parti itu pada PRN akan datang.

“Kami akan terus menilai mereka dalam tempoh dua bulan lagi untuk mengesah-kan peluang kemenangan mereka,” katanya.

Tiong berkata SPDP akan bertanding lapan kerusi pada PRN dan antara calon parti itu ialah peguam Cila Nasu bagi kerusi Tasik Biru, pe-guam Kilat Beriak (Krian), jurukur bahan Belayong Jampong (Meluan), ahli perniagaan Brian Fung dan peguam Fabian Sigar Andrew (Ba’Kelalan).