USABC berkabung atas kematian Jamaluddin Jarjis dan Azlin

0

WASHINGTON: Ketika ucapan sedih dan takziah dari seluruh dunia mencurah-curah tiba ke Malaysia berikutan kematian Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dan Datuk Azlin Alias, Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (USABC) yang berpangkalan di Washington, sebuah kumpulan sokongan untuk syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang beroperasi di negara ASEAN ialah antara yang pertama merakamkan ucapan takziah.

Dalam satu kenyataan USABC kepada Bernama, majlis itu menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat dan Kerajaan Malaysia serta keluarga Jamaluddin, Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat, dan Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, antara enam orang yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih kelmarin.

USABC, dengan Jarjis bekerjasama rapat bagi memupuk hubungan perniagaan dan ekonomi dengan Amerika Syarikat apabila beliau menjadi Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat dari Julai 2009 hingga Feb 2012, berfungsi sebagai landasan bagi kepentingan syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang beroperasi di rantau ASEAN.

Anggota majlis itu menjana pendapatan lebih AS$6 trilion dan menggunakan tenaga pekerja lebih 13 juta orang.

Selain menjawat jawatan di seberang laut, Jamaluddin ialah pengerusi Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan anggota Parlimen Rompin, Pahang, sejak 1980. Jamaluddin dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO sejak 2000.

Menurut USABC, Jamaluddin ialah “tenaga penggerak” dalam meningkatkan hubungan diplomatik dan perniagaan antara Malaysia dan Amerika Syarikat sejak Najib mengambil alih kepimpinan sebagai perdana menteri Malaysia pada 2008.

“Beliau (Jamaluddin) menyandang jawatan Duta ke Amerika Syarikat pada Julai 2009, dan sejak itu beliau tidak putus-putus berusaha untuk meningkatkan hubungan Amerika Syarikat-Malaysia.

Setelah tamat perkhidmatan pada Februari 2012, beliau mengekalkan komitmen kepada hubungan Amerika Syarikat-Malaysia melalui kedudukan beliau sebagai Duta Khas Malaysia di Amerika Syarikat dan berusaha untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara,” kata USABC dalam kata-kata pujian yang dikeluarkan selepas pengumuman mengenai kematian Jamaluddin.

“Saya diberi penghormatan bekerjasama dengan Tan Sri JJ selama beberapa tahun.  Beliau adalah seorang rakan perniagaan Amerika Syarikat dan kaunselor hebat dalam membantu mencorakkan hala tuju hubungan Malaysia-Amerika Syarikat, terutama sejak Najib mengambil ahli kepimpinan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif USABC, Alexander Feldman.

“Tan Sri JJ akan dikenang kerana peranan kepimpinannya dalam pertumbuhan dan memperluaskan hubungan politik, diplomatik dan strategik antara Amerika Syarikat dan Malaysia. Anggota dan kakitangan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN paling mengingati beliau sebagai sahabat yang khidmat tenaga dan semangatnya tidak dilupakan,” katanya.

Beliau benar-benar menaikkan profil Malaysia semasa menjadi Duta dan memainkan peranan penting semasa lawatan bersejarah Presiden Barack Obama ke Malaysia tahun lepas.   — Bernama