Rakyat DUN Tamin diminta terus sokong calon BN

0

SELANGAU: Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin diminta terus memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dr Richard Will Uban berkata sokongan padu itu penting demi meneruskan kesinambungan pembangunan di DUN Tamin.

Beliau memberitahu, rakyat bijak memilih pucuk pimpinan yang berupaya membangunkan rakyatnya, tidak mengira di kawasan bandar mahupun luar bandar.

“Kita percaya, rakyat mahukan pembangunan berterusan justeru sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan adalah pilihan terbaik meneruskan kemajuan dan pembangunan negeri ini,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Senabong Mawan, Selangau malam kelmarin.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh.

Richard mengajak rakyat di luar bandar menolak segala fitnah dan hasutan pembangkang yang disifatkannya sebagai satu taktik meraih simpati menyokong mereka.

“Rakyat harus merenung kembali kejayaan kerajaan BN membangunkan negeri ini dengan pelbagai projek pembangunan tidak mengira kecil mahupun besar,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan BN membuktikan kecemerlangannya dalam mengurus dan mentadbir negara di samping sebagai sebuah kerajaan prihatin dan peka keperluan serta masalah rakyat.

“Justeru, marilah kita bersatu hati dan memberi sokongan padu kepada calon BN pada PRN akan datang demi pembangunan berterusan,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 141 bekas ahli Parti Pekerja Sarawak (SWP) Selangau membuat keputusan keluar parti dan memilih menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Majlis penyerahan borang kemasukan keahlian PRS disampaikan wakilnya, Jingga Sumbang kepada Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu.

Keputusan keluar parti disebabkan parti itu gagal berperanan membawa pembangunan kepada rakyat di luar bandar dan tidak pernah turun padang selepas pilihan raya lalu.

Hadir sama Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Adriana Chumang Nyambong, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Harry Don Vasco, Pemanca Robert Nanta, Penghulu Juranpang Ratoh, Penghulu Michael Jalani, Penghulu Thomas Jawa, kaunselor-kaunselor dan tuai-tuai rumah.