Rogol darjah enam, remaja lelaki diberkas

0

DICEKUP: Suspek ketika dibawa ke Balai Polis Pusat Miri sebaik tangkapan malam kelmarin.

MIRI: Seorang remaja lelaki diberkas polis malam kelmarin kerana disyaki merogol seorang murid Tahun 6 sebuah sekolah rendah di sini bulan lalu.

Tangkapan ke atas suspek berusia 17 tahun berikutan laporan polis dibuat ibu mangsa di Balai Polis Lutong di sini pada 16 Februari lalu.

Dalam aduannya, ibu terbabit mendakwa sekitar jam 5.30 petang hari sama beliau dapat mangsa tiada di rumah sedangkan sebelum itu mangsa ada dilihat bermain basikal bersama beberapa orang rakan di hadapan rumah mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek terbabit yang bekerja sebagai buruh kasar.

Katanya, bertindak atas maklumat sekitar jam 7.30 malam kelmarin polis memberkas suspek terbabit di rumah keluarganya di perumahan Vista Perdana di sini.

Menurut Gan, hasil siasatan awal polis mendapati suspek merupakan teman lelaki mangsa baharu dikenalinya sejak seminggu sebelum kejadian tersebut.

“Pada hari kejadian, mangsa dibawa suspek berjalan-jalan dengan menaiki motosikal sebelum dibawa pulang ke rumahnya dan kemudian melakukan hubungan seks.

“Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan koyakan baharu di bahagian vagina mangsa,” ujar beliau.

Berikutan itu, suspek ditangkap membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.