Fuad: PKKM Sarawak pertaruh anyaman hasil rimba pada HKK

0

KUCHING: Bahagian Rekaan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Sarawak mempertaruhkan seni rekaan unik anyaman hasil rimba pada Hari Kraftangan Kebangsaan (HKK) yang akan diadakan pada 26 Mac sehingga 6 April di ibu negara.

Sehubungan itu, Ketua Bahagian Rekaan PKKM Sarawak Fuad Ariffin mendedahkan rekaan yang telah dibuat oleh pihaknya sejak Januari lepas.

“Sehingga kini, untuk rekaan hasil rimba iaitu beg yang telah dihasilkan berjumlah tidak lebih daripada 163 rekaan.

“Dan setelah menapis secara kasar dengan 20 usahawan yang kami ada bersama 10 pereka telah menghasilkan sekurang-kurangnya tiga rekaan setiap orang.

“Dari situ kami akan pilih yang terbaik untuk kami keluarkan untuk permintaan pasaran kelak,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Bahkan, pihaknya juga sedang berusaha keras mencipta rekaan lain seperti seramik, batik dan lain-lain.

Sejak sembilan tahun bekerja di bawah PKKM Sarawak, beliau melihat potensi kraf tangan Sarawak yang sentiasa mendapat tempat di mata dunia.

Usaha melibatkan kerjasama antara usahawan dan pereka begitu membuahkan hasil dengan banyak rekaan terbaharu dihasilkan bagi memenuhi keperluan trend dan fesyen terkini.

Kesemuanya dibangunkan di makmal PKKM Sarawak dan pihaknya berharap ia bakal mengharumkan nama negeri ini tidak lama lagi.