Belia Terengganu gesa kerajaan kawal harga rumah

0

KUALA TERENGGANU: Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) semalam menyuarakan kebimbangan berikutan trend kenaikan harga rumah yang terus melambung tinggi di negeri ini sekali gus menyukarkan golongan itu untuk memiliki rumah sendiri.

Pengerusinya, Zaidi Muda berkata kerajaan perlu memikirkan kaedah tertentu untuk mengawal harga rumah agar berada dalam lingkungan mampu milik untuk golongan belia agar hasrat kerajaan memberi kehidupan selesa kepada semua lapisan rakyat akan tercapai.

“Bagi anak-anak muda, rumah merupakan keperluan utama apabila mendirikan rumah tangga, namun apabila harga yang tidak terkawal di pasaran, mana mungkin generasi belia mampu miliki rumah dengan harga yang mahal.

Warga belia bimbang apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mula dikuatkuasakan April depan, harga rumah akan menjadi lebih mahal berikutan pelaksanaannya merangkumi bahan pembinaan yang dikhuatiri memberi impak terhadap harga rumah,” katanya kepada Bernama semalam.

Harga rumah yang ditawarkan di Terengganu ketika ini adalah hampir sama nilainya dengan harga rumah di Lembah Klang dan ia antara faktor penyebab terdapat lebih dari satu keluarga yang tinggal bersama dalam sebuah rumah.

Walaupun kerajaan turut memperkenalkan pelbagai skim perumahan dengan harga mampu milik, jumlahnya tidak mencukupi untuk menampung permintaan rumah ketika ini terutama di bandar seperti Kuala Terengganu dan Kemaman, katanya.

Zaidi berkata MBNT berterima kasih atas semua usaha yang telah dilakukan kerajaan setakat ini dalam aspek pemilikan rumah untuk golongan belia, namun pada masa sama berharap ada satu tindakan drastik untuk menangani kenaikan harga rumah yang terlalu tinggi. — Bernama