Semangat sukarela ahli KRT harus dipuji: Mawan

0

Oleh Andy Sabang //

Sanggup bertugas jaga keselamatan diri, penduduk kampung walaupun ramai yang sudah berkeluarga

SIBU: Ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) harus diberi pujian kerana sanggup melakukan tanggungjawab yang diamanah secara sukarela.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata mereka sanggup bertugas secara sukarela menjaga keselamatan diri dan penduduk kampung dengan ikhlas walaupun ramai yang sudah berkeluarga.

“Kewujudan KRT diyakini berupaya membantu memupuk nilai perpaduan dan sikap toleransi dalam kalangan ahli dan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis anjuran KRT Pakan di sini, kelmarin.

Mawan menjelaskan bahawa KRT bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan menerusi aktiviti sukarelawan boleh menarik minat penduduk di samping menjadi landasan memperkukuh semangat perpaduan yang menjadi kunci keharmonian.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Setiausaha Majlis Daerah Meradong/Julau Andirian Luang, Pengerusi KRT Pakan Low Tek Wu dan Ketua Kelab KRT Pakan Dominic Aci.

Menurut Mawan, kewujudan KRT tepat dan sesuai dengan tujuannya sebagai saluran menanam sikap saling menghormati serta memupuk semangat perpaduan di peringkat akar umbi.

“Menjadi harapan kerajaan agar semua pihak terus berganding bahu dalam mencapai aspirasi pimpinan ke arah membina perpaduan nasional di samping membantu merealisasi hasrat menyemai semangat satu bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata KRT lain seluruh negeri diharap dapat terus bergiat aktif, terutama melibatkan aktiviti menyatupadukan komuniti serta memperkukuh konsep perpaduan nasional.

Jelas beliau, keaktifan KRT bukan sahaja menjadi pengukur kesepakatan sebaliknya untuk membuktikan kemampuan jawatankuasa mengurus dan mentadbir.

Pada akhir majlis, Mawan menyampaikan geran sebanyak RM30,000 kepada KRT Pakan.