Selesaikan tiga isu sebelum teruskan sidang DUN Kelantan

Kerajaan negeri perlu mempertimbangkan tiga isu sebelum meneruskan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 29 Disember ini, bukan sahaja kerana tekanan politik tetapi juga kerana kemanusiaan dan teknikal.

Isu pertama adalah rakan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP menekan agar ia tidak diadakan kerana tidak mahu hudud dilaksanakan.

Di Kelantan pula sesetengah pemimpin PAS sendiri meminta ia ditangguhkan untuk membolehkan tumpuan diberi kepada kepentingan rakyat yang sedang menghadapi banjir terburuk dalam sejarah di negeri itu.

Sehingga kini, Kuala Krai paling teruk ditenggelami air dan menuruk saksi, ia lebih buruk daripada banjir besar 1967.

Manakala isu ketiga adalah masalah teknikal apabila sehingga kini para ahli DUN belum menerima rang itu sendiri yang sepatutnya diterima mereka tujuh hari sebelum sidang berlangsung.

"Sepatutnya rang undang-undang ini diterima tujuh hari sebelum sidang berlangsung. Sehingga hari ini, lima hari sebelum sidang para wakil rakyat masih belum menerimanya.

"Jika ia dibantah oleh mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam sidang nanti, Speaker tidak ada alasan melainkan terpaksa tangguh kerana ia tidak mengikut peraturan.

"Jadi sebelum terpaksa dibatal, saya rasa baik tangguh dulu sekurang-kurangnya selepas banjir pulih," kata Che Ibrahim Mohamad, bekas seorang kadi di Kelantan kepada The Malaysian Insider.

Che Ibrahim berkata, ketiga-tiga hujah ini perlu dipertimbangkan sebelum meneruskan sidang khasnya iaitu empat hari lagi.

Bekas Speaker DUN Kelantan, Datuk Wan Rahim Abdullah pula merayu agar menteri besar Kelantan menangguhkan sidang ini dahulu ekoran banjir besar yang berlaku sekarang.

Dalam posting di akaun Facebooknya, Wan Rahim berkata penanguhan ini perlu untuk membolehkan para Adun dan pegawai daerah di setiap jajahan menumpukan sepenuh usaha menangani permasalahan rakyat menghadapi musibah banjir yang sedang melanda Kelantan sekarang.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub sebelum ini mengumumkan sidang khas DUN Kelantan pada 29 Disember ini.

Ia bertujuan untuk meminda Enakmen Jenayah Syariah II 1993 bagi membolehkan Kelantan melaksanakan hudud di negeri itu di kalangan umat Islam.

Menurut maklumat, enakmen baru ini akan dinamakan Enakmen Jenayah Syariah II 1993 (2014) di mana beberapa penambaikan kepada enakmen yang asal dibuat.

Antaranya pindaan yang dibuat adalah soal penyaksian hamil luar nikah, kes rogol dan dakwaan dirogol yang selama ini dibangkitkan oleh pelbagai pihak terhadap keadilan undang-undang ini.

Bagaimanapun, pelaksanaan enakmen ini tertakluk kepada pindaan kepada Akta 355 di Parlimen sebelum ia boleh dilaksanakan.

Akta 355 ialah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) yang memperuntukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah adalah denda hanya tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Penjelasan PAS

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali (gambar) ketika ditanya persoalan ini bersetuju sidang ini perlu ditangguhkan jika banjir yang sedang berlaku sekarang menghalang kehadiran para Adun ke sidang itu.

"Namun, semakan saya dengan Kelantan ia belum sampai ke tahap itu lagi sekarang," katanya.

Soal DAP pula, Mustafa menjelaskan, rakan kongsi dalam PR itu perlu bersabar dan mendengar dahulu penjelasan sebelum membuat apa-apa pendirian.

"DAP jangan 'jumping the gun' sebelum mendengar penjelasan PAS mengenai hal ini," kata Mustafa yang bagi beliau pindaan ini hanya penambahbaikan kepada apa yang ada sahaja.

"Isu rang undang-undang persendirian tidak berbangkit lagi sebenarnya kerana kita hanya tumpu kepada Akta 355 sahaja dahulu iaitu bidang kuasa Mahkamah Syariah dan itu tidak memerlukan rang undang-undang persendirian daripada PAS," kata Mustafa menjelaskan apa yang akan dibuat sekarang.

PAS Pusat, kata Mustafa akan diberikan taklimat penuh oleh PAS Kelantan dan Jawatankuasa Teknikal pada 28 Disember ini tentang pindaan rang undang-undang ini.

"Kamipun belum dapat taklimat rasmi lagi," kata Mustafa.

Soal tarikh serahan rang undang-undang kepada Adun, Mustafa berkata hal itu diserahkan kepada Kelantan kerana ia terlalu teknikal. – 25 Disember, 2014.