Kawal kebanjiran migrasi penduduk ke bandar

0

Ini kerana ia bakal memberi impak besar terhadap pembangunan yang dirancang kerajaan, kata Dennis

Oleh Mohd Achil Norrlatep //

MIRI: Kebanjiran migrasi luar bandar ke bandar harus diseimbangkan kerana bakal memberi impak besar terhadap pembangunan yang dirancang kerajaan, kata  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Jok.

Jelasnya, ini kerana kerajaan menggariskan banyak rancangan pembangunan melibatkan projek besar.

“Telah banyak dirancang sama ada bakal, sedang atau telah dilaksana bagi membawa pembangunan ke kawasan pedalaman dan luar bandar,” kata Dennis.

Beliau berkata demikian pada Jamuan Malam Persatuan Masyarakat  Kenyah Lepo Sarawak di sini baru-baru ini.

Jelasnya, penduduk Baram antara kumpulan masyarakat  bertuah kerana terpilih menerima projek berimpak besar.

“Antara kesan ketara pembangunan dimaksudkan ialah kehidupan moden dengan kelengkapan kemudahan asas termasuk jalan raya lebih selesa.

“Jangan menutup pintu pembangunan hanya kerana kita tidak jangka apa yang bakal kita terima untuk kemudahan generasi akan datang,” katanya.

Antara rancangan kerajaan membangunkan Baram ialah Pusat Pertanian Tanah Tinggi yang bakal dilengkapi jentera dan kemudahan pertanian terkini serta moden di Long Banga’ serta Long Peluan,

Dennis turut menggesa persatuan untuk terus mengekalkan perpaduan dan kerjasama ahli demi memastikan matlamat mereka tercapai.

“Persatuan sebegitu penting kerana ia mewakili suara dan kehendak komuniti  untuk direalisasi walaupun terdiri daripada komuniti kecil,” katanya.

Majlis sama turut menyaksikan Dennis mengumumkan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM7,000 untuk persatuan bagi menjalankan aktiviti tahunan yang dirancang.

Turut hadir Presiden Persatuan Dr Samuel Lihan.