Atlet judo Sarawak meraih pengalaman berharga

0

KUCHING: Atlet judo Sarawak menimba pengalaman berharga pada Kejohanan Judo Kebangsaan Ke- 52 yang berlangsung di Pulau Pinang baru-baru ini.

Meskipun gagal meraih emas, pengurus pasukan Nyam Sze Yeung tetap berpuas hati dengan pencapaian skuad negeri apabila berjaya membawa pulang dua perak dan tiga gangsa.

Perak disumbang oleh atlet SUKMA, Andrew Sia selepas beliau tewas di tangan Mohd Ruzaini yang mewakili Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dalam saingan 100kg ke atas.

Turut menyumbang perak Mohd Jeffery dalam acara bawah 100kg.

Ia merupakan penampilan sulung Jeffery dalam acara senior.

Manakala gangsa disumbang pemenang emas 2011 Brenton Sim (bawah 81kg), Lai Lei Wei (bawah 60kg) dan Samuel Sia (melebihi 100kg).

“Kita tahu atlet muda bakal berdepan saingan sengit kerana kejohanan ini disertai ramai peserta senior dan kebangsaan.

“Namun saya gembira dengan prestasi ditunjukkan mereka kerana berjaya memenangi pingat,” jelas Nyam.

Menurutnya, Andrew, Samuel dan Lai masih mampu menghadiahkan kilauan pingat pada SUKMA tahun depan kerana mereka akan berdepan lawan remaja berbanding pada kejohanan kali ini.

“Kejohanan ini merupakan pentas pendedahan buat Andrew, Samuel dan Lai kerana mereka akan bertanding semula pada SUKMA 2015.

“Saya pasti, mereka akan melakar keputusan yang lebih baik pada tahun depan,” ujar Nyam lagi.

Nyam turut melahirkan rasa bangga dengan prestasi ditunjukkan Samuel yang baharu berusia 18 tahun dan percaya adik kepada Andrew itu dapat pergi dengan lebih jauh lagi.

Andrew, Brenton dan Samuel turut berada dalam senarai skuad pelapis kebangsaan.