Keanggotaan PAC Selangor tidak cermin keputusan seimbang, adil, kata Shamsuddin

BN Selangor mahu penasihat ekonomi baharu ganti Anwar

Keputusan kerajaan Selangor untuk mengekalkan komposisi ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Selangor tidak akan mencerminkan keputusan seimbang dan adil terhadap sesuatu perkara melibatkan kepentingan rakyat.

Bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Datuk Mohd Shamsuddin Lias berkata Barisan Nasional (BN) Selangor melihat kenyataan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali semalam, hanya retorik politik bagi memesongkan isu sebenar di sebalik pelantikan anggota PAC negeri itu.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Selangor berpendirian keanggotaan PAC Selangor tidak menunjukkan ciri-ciri amalan demokrasi seperti yang dicanangkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) selama ini.

"BN percaya rakyat Selangor sebilangan besarnya memahami motif sebenar permainan PR menjadikan isu keanggotaan PAC negeri sebagai modal politik semata-mata bagi menunjukkan mereka mengamalkan keadilan dan ketelusan dalam pentadbiran dengan melibatkan penyertaan BN dalam beberapa jawatankuasa DUN dengan menawarkan kemudahan tertentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsuddin yang juga Adun Sungai Burong, turut menegaskan BN Selangor tetap tidak akan menerima keanggotaan PAC negeri demi kepentingan rakyat malah tidak mahu terperangkap dengan permainan PR yang menggunakan konsep demokrasi untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Pada 4 Disember lepas, persidangan DUN Selangor meminda peraturan tetap berkaitan dan mewajibkan ketua pembangkang dilantik pengerusi PAC dan berikutan itu, Shamsuddin meletak jawatan sebagai ketua pembangkang kerana enggan menerima kedudukan itu kerana mendakwa PAC negeri dimonopoli Adun PR, selain dilihat lebih berunsur muslihat politik. – Bernama, 22 Disember, 2014.