Antara Umno dan ‘Peremajaan’ – Aizat Fikri Nasir Fikri

Peranan golongan muda belia dalam politik tidak boleh dipandang enteng dan dikesampingkan lagi.

Hakikatnya, mereka membentuk lebih 40 peratus daripada jumlah penduduk negara ini. Mereka bukan sahaja pengundi yang bakal mencorakkan hitam putih hala tuju negara bangsa, malah kelompok ini mempunyai kuasa dalam percaturan politik Malaysia.

Umno selaku parti pemerintah yang paling lama bertapak mesti dilihat signifikan dari kaca mata dan cepu fikir golongan muda. Satu perkara yang perlu dihadam; generasi Y dan Z ini tidak sepatriotik generasi-generasi terdahulu yang berasa terhutang budi atas perjuangan pemimpin tersohor Umno membebaskan bumi bertuah ini dari penjajah.

Prioriti mereka berbeza. Mentaliti mereka rencam. Kehendak dan kemahuan mereka juga jauh lebih menuntut berbanding generasi ayah dan nenek moyang kita. Bagi mencerakinkan prioriti, mentaliti, kehendak dan kemahuan orang muda ini, ia mesti diperhalusi orang muda sendiri yang lebih celik ilmu politik agar bimbingan yang betul dapat diberikan supaya mereka tidak ‘sesat di jalan yang terang’.

Bertitik tolak dari situ, lewat perhimpunan agung Umno lalu, soal peremajaan parti meniti dari bibir ke bibir ahli dan pemerhati politik. Hal ini sememangnya relevan justeru saya juga orang muda dan mewakili orang muda lain. Sudah tiba masanya lontaran suara dan buah fikir para beliawan dan beliawanis mendapat tempat yang serius di pucuk pimpinan tertinggi.

Janji-janji yang ditabur pada golongan ini mesti dipenuhi justeru mereka sangat skeptikal dan sensitif akan hal-ehwal pemerintahan. Kelompok belia ini bijak IT, terdedah maklumat global baik yang benar mahupun tidak dan mudah pula terpengaruh pojok-pojok retorik. Seandainya janji yang diberikan tidak dikotakan, adalah sukar untuk mendapatkan kembali kepercayaan mereka. Kepercayaan dan kesetiaan anak muda itu komoditi yang mesti Umno ekstrak untuk kekal mapan di teraju pentadibran.

Buat masa sekarang, persepsi golongan muda semakin condong ke arah pihak pembangkang yang relatifnya diterajui mereka y ang jauh lebih muda dengan sogokan ideologi yang lebih mesra para beliawan beliawanis bandar yang lebih liberal dan terbuka. Gerakan fahaman politik mereka dicanang di platform media alternatif seperti blog, laman sosial dan forum yang di mata generasi muda media arus perdana mereka. Mereka juga kelihatan aktif dan selalu bersama masyarakat setempat walaupun di luar musim pilihan raya.

Proses peremajaan Umno mesti dijana secara bijaksana. Pada hemat saya, untuk memungkinkan usaha ini berhasil, pucuk pimpinan parti mestilah mengubah sikap dan pendekatan bagi memahami kemelut anak muda di bumi Malaysia. Mereka perlu lebih kerap turun padang untuk bersama rakyat, orang kawasan dan cawangan bagi menggerakkan jentera parti, sekali gus mengenal pasti pemimpin-pemimpin muda yang berpotensi untuk diketengahkan.

Peremajaan parti bukan sekadar memberi ruang kepada orang muda, bukan sekadar meletakkan calon muda pada pilihan raya tetapi peremajaan haruslah diterjemahkan kepada golongan yang berhak. Ruang dalam parti harus dibuka dan diberikan kepada orang muda yang benar-benar berkelayakan, bukannya disuap.

‘Calon wahyu’ yang tidak pernah menetap di kawasan malah tidak dibesarkan di negeri berkenaan tetapi tiba-tiba sahaja diangkat menjadi calon tidak berhak mendapat tempat dalam parti mestilah ditolak. Ini bukanlah satu perkara baru dan bukan perkara mustahil memandangkan ada di kalangan ahli kabinet yang datang dari golongan ‘calon wahyu’ ini. Pucuk pimpinan suka mengambil ringan soal calon muda. Asalkan ada ijazah, belajar sampai ke luar negara, pernah bekerja untuk syarikat itu dan ini boleh dihantar ke kawasan menjadi calon.

Mereka lupa tentang hati dan perasaan orang-orang kawasan, mereka menuntut penerimaan orang-orang kampung terhadap pilihan mereka dan mengharapkan sokongan tidak berbelah bagi kepada ‘calon wahyu’ yang dihantar mereka ini. Percayalah jika pucuk pimpinan masih berfikiran sedemikian, orang muda akan sentiasa menjauhkan diri dari parti kerana perjuangan dalam parti di peringkat akar umbi sudah tidak ada makna dan dipandang remeh pemimpin kita sendiri.

Bagaimana peremajaan parti hendak berjaya direalisasikan sekiranya wakil rakyat dan orang kanan parti hanya turun padang untuk berkempen saat pilihan raya semakin menjelang atau dengan amalan kronisme ‘memilih bulu’ atau dengar-dengar cakap orang itu orang ini yang perlu dijaga hati dan kepentingan?

Politikus-politikus muda yang terpilih pula mesti mengamalkan etika budaya kerja dan susila timur dengan penuh hemat. Hormat dan berterima kasih pada mereka yang jauh lebih berpengalaman dalam parti, belajar dari sifu-sifu yang ada ini. Janganlah pula disebabkan jurang usia, nasihat daripada mereka yang sudah lama dalam parti dianggap tidak relevan dan bernas lagi.

Jika ada usulan yang ditolak, terima dengan hati terbuka. Benar, orang muda darahnya panas, namun jangan sampai gelap akal dan mata hati. Lembar ijazah dan kecapaian akademik sahaja bukan instrumen untuk mengukur kematangan berpolitik, sekali gus merencana usaha meremajakan parti.

Jangan ada mahasiswa yang berani mengugut untuk tidak bekerjasama dalam kempen pilihan raya atau ke tahap ekstrem mensabotaj parti gara-gara tidak berpuas hati dengan sesetengah individu atau perkara. Mereka ini tidak ubah seperti duri dalam daging yang perlu dibasmi daripada menjadi racun yang perlahan-perlahan melumpuhkan seluruh sistem.

Budaya ugut-mengugut seperti lanun dan ah long ini sangat ‘haprak’ sifatnya dan amat tidak wajar dipraktikkan pada abad ke-21 ini. Mahasiswa mahasiswi sewajarnya merefleksi ketinggian akal budi seganding dengan ilmu di dada, bukannya mengikut emosi membabi buta atau kemaruk mengejar habuan, pangkat dan kedudukan.

Proses peremajaan parti mesti bermula dari peringkat akar umbi. Sayap Pemuda dan Puteri Umno mesti digagas dengan kemas dan tegas. Perisai hadapan parti di peringkat cawangan dan kawasan mesti diberikan peluang. Mereka yang bertungkus lumus bekerja untuk parti mesti dihargai. Pemimpin-pemimpin tertinggi perlu prihatin dalam memantau siapa yang ‘buang tenaga’ dan siapa yang ‘buang beras’ sahaja.

Pemilihan calon yang merepresentasi rakyat termasuklah golongan muda perlu lebih selektif dan datang daripada cadangan masyarakat di kawasan tersebut. Mereka ini dilihat mampu memanjangkan suara rakyat untuk didengar sebelum disusuli tindakan tuntas.

Peremajaan Umno tidak mustahil, tetapi ia juga tidak mudah dilaksanakan dan perlu melalui fasa berperingkat-peringkat.

Perkara-perkara ini harus diteliti dengan sedalam-dalamnya – muhasabah untuk menilai di mana silap dan salahnya. Perhimpunan, persidangan dan mesyuarat mesti disusuli dengan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang yang bersifat fizikal – dapat dilihat, dirasai dan terkesan rakyat. Ramai bersoksek-soksek persidangannya banyak, usulnya pelbagai, tetapi ‘habuk pun tak nampak’.

Komen negatif seperti ini mesti dineutralkan melalui pembuktian pemimpin Umno sedang dalam usaha merintis masa depan rakyat yang lebih cemerlang untuk memastikan Umno kekal relevan. Pemimpin-pemimpin dan orang dalam parti mestilah sehaluan dan berkongsi matlamat yang sama. Segala konflik dalaman dan pergeseran dalam parti mesti dijernihkan untuk memastikan perjalanan parti lancar.

Dengan perencanaan yang betul, jentera yang mapan dan sokongan yang padu, peremajaan parti akan berhasil. – 21 Disember, 2014.

* Penulis adalah timbalan presiden Umno London.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.