Kolam tadahan air atasi banjir kilat perumahan Eco Park

0

MIRI: Dua kolam tadahan air (detention pond) siap dibina untuk memperlahan aliran dan limpahan air ke kawasan perumahan Eco Park, Jalan Sze Chuan 2 yang terletak berdekatan Lapangan Terbang Miri.

Kawasan perumahan itu kerap mengalami banjir kilat dan kejadian terbaharu ialah pada awal bulan ini kerana hujan lebat luar biasa selama lebih kurang 12 jam. Keadaan itu menyebabkan aliran air deras dan banyak dari Lapangan Terbang Miri, Batalion 20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri, Kampung Riam Jaya dan kawasan berdekatan.

Ia dibina bersama Jabatan Pengairan dan Saliran Miri (JPS) dan syarikat pemaju untuk mengawal kenaikan paras air dalam parit ketika hujan lebat.

Menteri Muda Perhubungan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata, pembinaan kolam itu antara penyelesaian jangka pendek mengelakkan kejadian banjir kilat di Eco Park.

Pihak JPS akan berhubung dengan Pejabat Residen Miri tentang cadangan pembinaan tiga kolam tadahan air baharu di kawasan Lapangan Terbang Miri, Kem Sri Miri dan lot bersebelahan perumahan Eco Park 2.

Pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan memastikan aliran air parit di kawasan tersebut mengalir secara lancar, bebas daripada enapan dan tersumbat.

Selain itu, JPS turut menyedia dua pam bertekanan tinggi bagi mengalirkan air dengan lebih cepat jika berlaku hujan lebat berterusan. “Kami menubuhkan jawatankuasa petugas khas yang membentang laporan teknikal tentang perkembangan dan masalah banjir kilat di kawasan ini.  “Kami harus pastikan kawasan ini tidak lagi mengalami masalah banjir, “ jelasnya.

Lee berkata antara penyelesaian jangka panjang ialah pembinaan `earth drain’ (parit)  berkelebaran enam meter dengan kedalaman yang sesuai di sepanjang Jalan Airport dan dialir ke arah aliran semula jadi sedia ada.  Pembinaan parit bertujuan mengurangkan limpahan air dari kawasan Lapangan Terbang Miri.  Turut dicadangkan ialah dua ‘discharge outlet’ (pusat pelepasan air) utama menuju ke laut.

Kajian teliti akan dibuat sebelum dibawa kepada pihak atasan untuk tujuan persetujuan dan peruntukan.  Turut menghadiri mesyuarat ialah Residen Miri Antonio Kahti Galis dan Timbalan Datuk Bandar Mohd Chee Kadir.