Jika bukan menantu, Khairy juga bertaraf rendah – Shahbudin Husin

Dalam usaha membodek dan mengampu Datuk Seri Najib Razak yang semakin goyang dan dipertikaikan, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan Syed Rosli Jamalulail yang menggesa agar perdana menteri meletakkan jawatan demi menyelamatkan masa depan Umno hanya mewakili suara paling rendah dalam Umno.

Beliau turut mempertikaikan beberapa portal yang menyiarkan gesaan Syed Rosli, sedangkan individu tersebut tidak mempunyai jawatan penting dalam Umno.

Kata Khairy lagi, laporan seumpama itu seharusnya memetik daripada seseorang yang mempunyai kewibawaan.

Berikutan tulisan di laman sosial Facebooknya yang menggesa Najib berundur sebagai satu pengorbanan dan memudahkan BN memenangi pilihan raya umum akan datang, beberapa portal berita menjadikan gesaan itu sebagai berita utama dan kemudian turut menjadi perbualan umum.

Walaupun Syed Rosli hanya pemimpin di peringkat cawangan (suara paling rendah menurut KJ), sebenarnya gesaan terhadap Najib ini bukanlah suara yang baru kedengaran dalam Umno.

Di pelbagai peringkat, sejak sekian lama sudah semakin kerap kedengaran agar Najib mengundur diri, memandangkan beliau dilihat gagal meningkatkan sokongan rakyat kepada Umno dan BN.

Dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di mana Barisan Nasional (BN) hanya meraih 47% undi popular dan Muhyiddin pula memberi peringatan hanya penurunan 2% pengundi saja lagi akan menyebabkannya menjadi pembangkang, ia gambaran sebenar mengenai kegagalan Najib.

Daripada 47% pencapaian pada PRU13, berapakah pula peratusannya ketika ini, meningkat atau makin menurun? Daripada kira-kira 6 juta pengundi baru menjelang PRU14, banyak manakah akan memihak kepada BN?

Pandangan yang diutarakan Syed Rosli hakikatnya relevan untuk masa depan dan untuk menyelamatkan Umno dan BN daripada tumbang, tidak kira siapa pun dirinya.

Bukankah Umno parti rakyat bawahan dan sesiapa pun berhak memberikan pandangan? Soal kenapa portal berita memetik gesaannya, ia tentulah kerana ada nilai berita yang diutarakannya.

Nilai berita secara umumnya terbahagi kepada dua, apa isu yang diucapkan dan siapa yang bercakap. Berita mengampu dan membodek perdana menteri tidaklah bernilai apa-apa kecuali yang mengucapkannya mempunyai jawatan tinggi dalam parti dan kerajaan.

Begitu juga dengan gesaan Syed Rosli, walaupun beliau bukan sesiapa dan hanya bertaraf rendah sahaja, tetapi perkara yang disampaikannya ada nilai beritanya dan mahu dibaca khalayak.

Tetapi membaca kenyataan Khairy mengenai Syed Rosli, sesiapa pun tidak dapat mengelak daripada beranggapan ketua pemuda Umno itu pemimpin paling sombong dan angkuh yang pernah dilahirkan Umno sejak 1946.

Ia memberi maksud dalam pemikirannnya, mereka yang di peringkat bawahan Umno tidak lebih hanyalah golongan kuli, tukang pasang poster, meramaikan majlis sambil bertepuk tangan dan tidak berguna apa-apa melainkan budak suruhan pihak atasan semata-mata.

Mereka tidak boleh menegur, tidak layak memperkatakan salah laku atau tidak baik mengenai pemimpin, jauh sekali untuk meminta meletakkan jawatan. Itulah penilaian Khairy terhadap golongan bertaraf rendah yang sebenarnya bukan saja majoriti, tetapi juga penentu dalam Umno.

Ternyata Khairy semakin lupa asal usul dirinya dan bagaimana beliau naik dalam Umno. Bukankah orang bawahan yang menaikkannya? Dalam pilihan raya pula, kalau tanpa golongan paling bawah dalam Umno bekerja keras, bolehkah beliau menang?

Beliau juga bukan golongan berdarah bangsawan sejak lahir. Darah elit dan bangsawan daripada keluarga perdana menteri hanya mengalir di luaran tubuhnya setelah berkahwin dengan anak Pak Lah saja. Hanya dengan kedudukan itu dilonjakkannya untuk meraih pelbagai kedudukan dan keistimewaan.

Pandangannya yang memperlekeh golongan bawahan dalam Umno ini juga pastinya bertentangan dengan naluri dan jiwa besar lain-lain pemimpin Umno, termasuk Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yang memang lahir dalam keluarga yang pernah menjadi perdana menteri, bukan sekadar tempelen dengan menumpang nama sebagai menantu.

Namun, amatlah membanggakan ketiga-tiga anak bekas perdana menteri di atas tidak pernah sama-sekali memperlekeh suara bawahan dalam Umno dan sentiasa menghargai pandangan mereka.

Apakah salahnya golongan paling rendah dalam Umno menyuarakan pandangan? Bukankah Umno sendiri hidup dan bernafas kerana golongan paling rendah ini?

Ini mengingatkan kepada kata-kata seorang tua di Bandar Sendayan dalam Parlimen Rembau yang pernah berkata, "Sebenarnya nilai kita sebagai menantu bukanlah mahal sangat, ia hanyalah tiga sen saja dan bila-bila masa boleh terbuang".

Khairy sendiri pun sebenarnya, jika bukan kerana pernah menjadi menantu perdana menteri, beliau juga bukanlah sesiapa dalam Umno dan mungkin masih berada di peringkat paling rendah juga waktu ini. – shahbudindotcom.blogspot.com, 19 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.