Advertisement

Putrajaya belum cadang wajib bayaran elaun kepada pekerja swasta

Putrajaya belum cadang wajib bayaran elaun kepada pekerja swasta

Kementerian Sumber Manusia belum bercadang untuk mewajibkan pelaksanaan kaedah bayaran Elaun Sara Hidup (Cola) secara tetap kepada pekerja swasta, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata ini kerana ketika ini kementerian sedang menguatkuasakan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) yang mensyaratkan gaji minimum perlu dibayar kepada seseorang pekerja iaitu RM900 bagi Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

"Pada masa ini, pekerja sektor swasta menikmati bayaran elaun seperti elaun kedatangan, elauan perjalanan, elaun sewa rumah, elaun syif, elaun pakaian, elaun dobi dan sebagainya," katanya menjawab soalan Datuk Jamilah Sulaiman.

Jamilah ingin tahu sama ada kementerian akan menetapkan peraturan supaya majikan swasta memperuntukkan elaun Cola untuk pekerja mereka seperti yang dinikmati penjawat awam.

Ismail berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa daripada segi undang-undang untuk mewajibkan majikan membayar Cola atau elaun seumpamanya kepada pekerja mereka.

Ismail berkata ini kerana cadangan bayaran Cola tertakluk kepada budi bicara majikan dan boleh dirundingkan antara pekerja dengan majikan.

Beliau berkata kementerian sentiasa menggalakkan perbincangan konstruktif antara pekerja dengan majikan bagi mendapatkan terma penggajian terbaik yang dipersetujui bersama kedua-dua pihak menerusi perundingan bersama antara kesatuan sekerja dengan majikan sebagaimana peruntukan Seksyen 13, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177).

"Manakala bagi pekerja yang tidak diwakili kesatuan sekerja, perkara ini boleh dibincangkan dalam Jawatankuasa Perundingan Bersama antara majikan dengan pekerja," katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata 226,000 individu daripada 5.58 juta yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gagal mengisytihar cukai pendapatan mereka bagi tahun taksiran 2013.

Bagi bilangan pembayaran cukai pendapatan syarikat, katanya sejumlah 136,000 syarikat daripada 562,000 yang berdaftar dengan LHDN gagal melakukan perkara yang sama.

"LHDN sentiasa mengambil tindakan secara berterusan ke atas pembayar cukai pendapatan individu dan syarikat yang gagal mengisytihar pendapatan bagi memastikan pematuhan oleh pembayar cukai dan kutipan hasil diperoleh kerajaan mengikut tempoh ditetapkan," katanya menjawab soalan Datuk Mohd Salim Sharif.

Mohd Salim ingin tahu jumlah pembayar cukai yang patut mengisytihar cukai pendapatan tetapi gagal berbuat demikian dan langkah LHDN dalam menanganinya. – Bernama, 17 Disember, 2014.