Rumpai miang Mexico menular ke 6 daerah di Perak

Rumpai miang Mexico menular ke 6 daerah di Perak

Enam daerah di Perak dikesan berlaku penularan rumpai miang Mexico atau 'parthenium hysterophorus', kata Pengarah Jabatan Pertanian negeri Zabidi Dun.

Beliau berkata penularan rumpai itu keseluruhannya meliputi seluas 11 hektar melibatkan kawasan Lembah Kinta, Kuala Kangsar, Larut Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah serta Hulu Perak.

"Kita sedang giat menjalankan kerja membanci di seluruh negeri untuk menentukan sama ada terdapat rumpai ini di sesuatu kawasan.

"Kita tidak dapat meliputi semua kawasan dan kita mengharapkan pemimpin tempatan atau orang ramai dapat memaklumkan kepada kita sekiranya terjumpa tumbuhan itu," katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi kawalan rumpai berkenaan di Taman Chemor Maju hari ini.

Zabidi berkata rumpai miang itu mudah merebak dengan cepat kerana ia mampu menghasilkan 100,000 biji benih untuk satu pusingan dan biji benih rumpai berkenaan boleh kekal dalam tanah sehingga 10 tahun.

Katanya debunga yang keluar daripada rumpai itu juga boleh menyekat atau mengganggu proses pengeluaran hasil tanaman pokok yang sedang berbuah.

Beliau berkata tumbuhan itu perlu dikawal berdasarkan Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 yang mana rumpai berkenaan tersenarai dalam perosak kuarantin yang berbahaya dan perlu diambil tindakan untuk menghapuskannya.

"Setakat hari ini, tidak kurang separuh daripada 11 hektar kawasan yang dikenalpasti diambil tindakan dengan melupuskannya," katanya.

Beliau berkata antara langkah untuk menghapuskan rumpai itu ialah menggunakan sarung tangan dan pakaian yang sesuai untuk mencabut rumpai itu selain boleh dihapuskan dengan menggunakan racun rumpai yang bersesuaian.

Sebelum ini, media melaporkan kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar yang berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

Tumbuhan itu yang mempunyai bunga berwarna putih dan daunnya seakan-akan ulam raja mempunyai ketinggian antara 1.5 meter hingga dua meter.

Antara negeri yang dikesan ditumbuhi rumpai itu ialah Perak, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka. – Bernama, 16 Disember, 2014.