Catatan-catatan Pilihan Raya Kampus (PRK) – Ahmad Muziru Idham Adnan

CATATAN 1

Pilihan raya kampus (PRK) kampus-kampus universiti mempunyai sejarah yang sangat panjang. Setiap kampus universiti mempunyai catatan sejarah PRK yang tersendiri. Saya mempercayai PRK memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk identiti kampus sesebuah universiti. Mengambil UM (Universiti Malaya) sebagai contoh, juga adalah universiti tertua di Malaysia, PRK adalah platform awal kepada pembentukan aktivisme mahasiswa yang bergerak melalui parti-parti progresif yang berjuang dalam PRK untuk memegang tampuk PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya).

Sehingga ke hari ini, PMUM merupakan antara badan gerakan mahasiswa yang lantang memperjuangkan isu-isu nasional sekalipun adakala idealisme dan gerak kerja mereka wajar dipersoalkan, tetapi UM tidak tandus melahirkan pemimpin-pemimpin yang lantang di tengah-tengah masyarakat hari ini seperti Prof. Diraja Ungku Aziz, Anwar Ibrahim, Hishamuddin Rais, Syed Hussin Ali, Ahmad Shabery Cheek, Saifuddin Abdullah, Khalid Jaafar, dan ramai lagi.

Era 70 hingga 80 an boleh dikatakan kemuncak identiti gerakan-gerakan mahasiswa yang bergerak secara progresif melangkau kepentingan pertubuhan itu sendiri. Sekali lagi mengambil UM sebagai contoh (kerana era gerakan mahasiswa pada waktu itu tertumpu pada gerakan-gerakan dari UM), PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) pada waktu itu tidak lagi sekadar terikat dengan isu-isu nasionalisme kebahasaan, tetapi PBMUM yang paling lantang pada ketika itu membawa pelbagai isu nasional dan antarabangsa.

Percaya atau tidak, kekuatan gerakan mahasiswa pada waktu itu sangat kuat melampaui batasan kuasa yang ada sehingga mampu melakukan tindakan rampasan kuasa! Pada tahun 1974, PMUM 1973/1974 di bawah Kamarazaman Yaakob sebagai presiden pada ketika itu menyerbu bangunan Canselori UM dan berbincang dengan pemangkunya agar menyerahkan pentadbiran sementara kepada PMUM.

Tindakan tersebut adalah respon kepada tangkapan terhadap beberapa orang mahasiswa yang terlibat dengan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) seperti Hishamuddin Rais, Yunus Ali, Adi Satria, Abu Zer Ali bersama pimpinan PSRM yang lain seperti Syed Hamid Ali, Mohd. Amin Ahmad dan Majid Yaakob berhubung dengan Peristiwa Tasek Utara. Malah, kebijaksanaan mahasiswa bersama gerakannya pada waktu itu menyebabkan pihak pentadbiran UM tidak dapat mengambil keputusan untuk menggantung PMUM berhubung tindakan tersebut.

Sejarah-sejarah itu menjadi bukti kekuatan gerakan mahasiswa tidak harus diperkecilkan. Kebanyakannya lahir daripada pilihan raya kampus dan mereka membangun sebagai seorang pemimpin mahasiswa yang berada di tengah-tengah masyarakat. Perjuangan mereka di kala itu bukan sekadar isu-isu kampus, tetapi juga merentas isu nasional. Mereka membawa identiti gerakan mereka sendiri sehingga bayangan mereka langsung terbawa-bawa dalam gerakan mahasiswa hari ini.

CATATAN 2

PRK merupakan medan kepada mahasiswa untuk mengangkat idealisme dan kredibiliti mereka ke lapangan kampus universiti. Menjadi calon PRK bermakna membawa bersama gagasan idea dan harapan kepada masa depan kampus universiti. Mahasiswa yang bertanding PRK harus benar-benar mempunyai kesedaran intelektual mereka akan membawa suara-suara mahasiswa lain ke tengah lapangan masyarakat untuk menggerakkan aktivisme ke arah langkah yang progresif.

Calon PRK itu sendiri harus sedar tahap idealisme mereka itu sendiri dalam bertanding untuk menjadi perwakilan kepada mahasiswa kampus kerana menjadi seorang MPP (Majlis Perwakilan Mahasiswa) atau PM (Persatuan Mahasiswa) bukanlah suatu jawatan yang sekadar untuk mencuba-cuba, populariti atau kuasa apatah lagi agenda-agenda tersirat lain yang berbentuk kepada kepentingan peribadi.

Dengan alasan-alasan tersebutlah yang menjadikan kepercayaan mahasiswa kepada MPP atau PM untuk sesetengah universiti semakin pudar kerana akhirnya suara mereka tidak juga ke mana-mana. Lebih menyedihkan lagi apabila MPP atau PM itu sendiri pula yang menjadi wakil suara unit HEP (Hal Ehwal Pelajar) kepada mahasiswa, bukan lagi menjadi suara mahasiswa kepada unit HEP.

Jangan lagi salahkan mahasiswa yang lesu jika MPP atau PM itu sendiri yang tidak membangunkan mahasiswa untuk lebih progresif. Jika MPP atau PM itu sendiri yang lesu, bagaimana hendak bangunkan mahasiswa yang sedang lena? Bukanlah bermakna MPP atau PM itu bertanggungjawab untuk segala-galanya, tetapi mereka harus menjadi pelopor kepada sebuah komuniti mahasiswa progresif (MP) [meminjam istilah daripada Mohamad Ridhwan Alias].

Sebab itu PRK merupakan langkah awal dalam politik kecil sebelum melangkah kepada politik yang lebih besar. Mereka bakal menjadi ahli kepada badan yang membuat dan melaksana keputusan untuk mahasiswa. Jadi, calon-calon PRK itu sendiri harus memilih untuk menjadi calon yang membawa politik bagaimana.

Politik bersih atau politik kotor?

CATATAN 3

PRK selain sebagai sebuah medium pilihan raya, juga adalah wadah untuk mempertandingkan idea. Calon-calon akan dinilai berdasarkan idea yang ada pada mereka untuk dilaksanakan terhadap kampus universiti. Di situ kepentingan untuk setiap calon yang bertanding perlu bersedia dengan idea-idea yang praktikal yang meliputi permasalahan-permasalahan mahasiswa dan kampus universiti untuk diselesaikan secara pragmatikal.

Sebab itu saya sangat tidak setuju untuk calon yang bertanding secara tergesa-gesa, terpengaruh dengan sokongan dan rayuan kawan, atau sekadar mahu mencuba. Menjadi perwakilan kepada mahasiswa dengan alasan yang sebegitu merupakan sesuatu yang sangat tidak dapat diterima kerana itu bermakna mereka tidak bersedia dengan sebarang idealisme, apatah lagi memahami permasalahan kampus yang mendasar. Memahami sesuatu permasalahan bukannya selesai untuk sekadar perbincangan beberapa kali dan membuat tinjauan untuk sekadar beberapa hari. Ianya perlukan suatu tempoh, dan tempoh itu yang perlukan kesedaran awal sebelum membuat keputusan sama ada medium PRK untuk menuju kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau Persatuan Mahasiswa (PM) benar-benar sesuai atau tidak untuk kredibiliti diri bagi menyelesaikan isu yang ada.

Dan sebab itu juga pentingnya untuk setiap mahasiswa mempunyai rasa bertanggungjawab untuk meneliti satu persatu manifesto calon bagi menilai idealisme mereka dan menganalisis tentang persediaan diri mereka sama ada benar-benar mampu menjadi calon yang berwibawa atau sekadar menjadi calon yang "suka-suka".

Dan sudah tentunya manifesto itu tidak akan selesai untuk difahami jika sekadar menyatakan isi manifesto dalam poster-poster. Pastinya menarik bukan, jika setiap calon mempunyai banyak ruang untuk membuat perbentangan manifesto secara individu, menyediakan pelan tindakan (blueprint) yang boleh dibaca semua orang, atau mempunyai platform debat antara calon yang memberikan kesempatan kepada setiap calon untuk memperjelas dan mempertahankan kepada mahasiswa secara terbuka?

CATATAN 4

Aktor utama dalam PRK selain calon-calon ialah barisan pengundi itu sendiri. Jatuh bangun calon dalam PRK ditentukan kekuatan undi yang diterima daripada pengundi sebagai mandat kepada calon sama ada akan terus kekal meneruskan perjuangan di kerusi MPP atau PM ataupun perjuangannya tamat sekadar pada hari pengumuman keputusan PRK. Secara tidak langsung, kekuatan PRK itu sendiri ditentukan kekuatan daripada pengundi itu sendiri. Di sini dapat dibahagikan kelompok pengundi itu kepada tiga bahagian, iaitu:
1) Pengundi aktif.
2) Pengundi lesu.
3) Pengundi pasif.

Pengundi aktif bermaksud pengundi yang sedar tentang tanggungjawabnya untuk mengundi. Mereka menyedari diri mereka itu amat penting untuk turun mengundi bagi memilih calon-calon yang akan mewakili suara-suara mereka ke dalam kampus universiti nanti. Mereka berusaha untuk turun mengundi walau jadual kelas padat atau terpaksa beratur panjang bagi menunggu giliran mengundi. Pengundi aktif tidak sekadar turun mengundi, tetapi mereka mengikuti rapat-rapat umum bagi calon-calon yang bertanding bagi menilai manifesto yang dibentangkan mereka dan mengetahui calon mana yang mereka rasakan layak untuk diberi mandat sebagai wakil mahasiswa.

Pengundi lesu pula bermaksud pengundi yang langsung tidak mahu mengambil peduli tentang siapa calon yang mereka rasakan layak untuk diundi. Mereka hanya mengenali calon-calon mereka apabila sampai di tempat pengundian ketika waktu untuk memangkah undi. Ketika itu, mereka mengundi calon sekadar mengikut rasa hati mereka atau sekadar melalui rupa calon yang mereka rasakan berwibawa ataupun kerana kecantikan atau ketampanannya. Pengundi dalam kategori ini turun mengundi sama ada sekadar untuk merasai pengalaman mengundi atau kerana desakan tertentu seperti peraturan wajib mengundi yang ditetapkan sesetengah fakulti atau pensyarah.

Pengundi pasif pula bermaksud pengundi yang langsung tidak merasa bertanggungjawab untuk mengundi dan tidak merasakan diri mereka itu berperanan untuk turun mengundi. Dengan sebab itu, mereka dengan sengaja memang tidak mahu pergi mengundi. Mereka bukan sahaja tidak mengambil peduli tentang apa itu PRK, malah tidak merasa penting pun untuk turun mengundi. Bagi mereka, PRK itu sekadar membuang masa mereka atau ada sesetengah kelompok yang sampai mempunyai suatu tahap pemikiran ekstrim mereka tidak mahu turun mengundi sebab tidak minat sesuatu yang berbau politik. Mereka diletakkan juga di dalam kelompok pengundi walau mereka tidak turun mengundi kerana mereka adalah mahasiswa yang berstatus pengundi tetapi bersikap pasif terhadap undi.

Dengan ketiga-tiga kelompok pengundi tersebut, anda tergolong dalam kelompok yang mana? Pengundi bertanggungjawab (aktif), kurang bertanggungjawab (lesu) atau tidak bertanggungjawab (pasif)?

CATATAN 5

PRK merupakan ruang yang luas kepada mahasiswa untuk merasai pengalaman awal kepada "real politik" sebelum mereka berhadapan dengan masyarakat sebenar di luar kampus nanti. Dalam PRK itu sendiri sudah wujudnya bibit-bibit permainan politik melalui pertembungan antara politik matang atau politik kotor. Seringkali PRK itu dicemari dengan sabotaj dan penipuan sama ada dalam kalangan calon atau daripada pihak pentadbiran universiti itu sendiri.
Maka, PRK menjadi medan sama ada calon hendak memilih bertanding secara matang atau secara kotor. PRK merupakan medan awal untuk membentuk siapa diri mereka nanti selepas tamatnya bergraduasi dan terjun ke dalam kancah masyarakat yang lebih kompleks.

Di universiti, mereka bakal menjadi pembuat keputusan untuk kampus universiti. Mungkin kelak mereka pula akan menjadi penggubal polisi untuk negara atau setidak-tidaknya orang yang terlibat dalam pemutus keputusan untuk masyarakat.

Jadi, di medan PRK ini, kepada calon dan pengundi, sekali lagi saya persoalkan: Mahu memilih PRK yang bagaimana?
PRK matang atau PRK kotor? – 16 Disember, 2014.

* Penulis merupakan mahasiswa tahun tiga bagi bidang Kajian Antarabangsa di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.