Kekuatan Cina hasil perniagaan haram, kata perwakilan Umno Pulau Pinang

Kekuatan masyarakat Cina datang daripada perniagaan haram seperti judi dan pelacuran, kata perwakilan Umno Pulau Pinang Datuk Mohd Zaidi Said.

Zaidi ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini berkata, tanpa penguatkuasaan tegas, kerajaan akan dihina kerana kegiatan itu berleluasa.

"Kita tahu kekuatan Cina datang daripada bisnes haram seperti judi, pelacuran, tapi di mana pihak berkuasa?

"Saya pergi Permatang Pauh saya nampak bisnes maksiat ini banyak, kereta tinted pun lepas," katanya.

Beliau berkata, dengan tindakan tegas, komuniti Cina sudah pasti akan takut kepada kerajaan.

"Nasib baik kita tidak buat apa-apa. Kalau kita banteras aktiviti ini, mereka akan takut kepada kerajaan.

"Kalau kita tidak ambil tindakan tegas kita akan dihina, ini kerana sikap pegawai kita sendiri," katanya.

Zaidi dalam ucapannya turut menegur Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang diketahui umum mempunyai hubungan akrab dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"Bukan setakat berjumpa, siap pergi ke rumah. Adakah kita nak melihat mereka sampai nak cium mulut?" kata Zaidi.

Beliau turut menggesa Putrajaya memberikan peruntukan kepada akar umbi, berbanding kepada kerajaan negeri yang dipimpin kerajaan Pakatan Rakyat itu, bagi meningkatkan ekonomi Melayu.

"Kerajaan perlu membantu ekonomi Melayu melalui Majlis Tindakan Ekonomi Pulau Pinang daripada memberi peruntukan kepada kerajaan negeri," katanya, merujuk kepada projek kereta kabel RM200 juta yang diperuntukkan kepada Pulau Pinang. – 28 November, 2014.