Kekal Akta Hasutan tak sekat kritikan kerajaan, kata pemimpin Umno

Kekal Akta Hasutan tak sekat kritikan kerajaan, kata pemimpin Umno

Pengumuman Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak untuk mengekal dan memperkukuhkan Akta Hasutan 1948 bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara dan melarang kritikan terhadap kerajaan, kata pemimpin sayap parti Melayu itu.

Mereka berpendapat pengekalan akta itu juga tidak bermakna mereka yang mengkritik polisi kerajaan akan ditahan, sebaliknya akta itu perlu terus kekal untuk mempertahankan tanah air.

"Kritikan tidak pernah kita halang, dari segi iklim politik, kita tidak menghukum mereka yang memberi kritikan adil kepada kerajaan.

"Ini bukan untuk kita tutup ruang kebebasan negara, ini untuk kita melindungi negara," kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kepada pemberita.

Beliau berkata yakin majoriti anak muda akan menyokong akta itu dikekalkan, dan pihaknya memberi jaminan akan bergerak ke peringkat akar umbi untuk memberikan pemahaman dengan tindakan Putrajaya itu.

"Hendak kritik polisi, Khairy tiada masalah... tetapi bila ada penghinaan kepada bangsa dan agama, dan menggalakkan pemisahan Sabah dan Sarawak, itu tidak boleh diterima.

"Saya percaya seluruh rakyat Malaysia dan generasi muda sokong," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, keputusan mengekalkan akta itu bukan atas tujuan politik, sebaliknya demi kelangsungan rakyat Malaysia.

"Kita tiada agenda peribadi dan politik, agenda kita untuk Malaysia, rakyat akan terima," katanya.

"Dalam politik, buat baik pun kena kritik, yang mustahak nawaitu kita untuk negara," tambah bekas menteri pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat itu.

Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pergerakan itu menyokong Akta Hasutan dikekal dan diperkukuhkan kerana ia selari dengan konsep solidariti yang ditekankan Najib ketika memberi ucapan dasarnya.

"Puteri pun bersetuju dengan pengekalan Akta Hasutan, kerana dalam apa pun tajuknya, solidariti amat penting untuk rakyat Mlaysia, bukan agama Islam sahaja, tetapi keseluruhannya," katanya.

Ketiga-tiga sayap parti itu ketika perhimpunan mereka semalam menggesa agar Putrajaya mengekalkan Akta Hasutan.

Sayap wanita turut mengadakan kempen mengumpul sejuta tandatangan daripada lebih 20,000 cawangan parti itu di seluruh negara untuk diserahkan kepada Najib sebagai tanda sokongan untuk akta itu dikekalkan.

Najib pada 11 Julai 2012 dilaporkan berkata Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.

"Dengan adanya akta baru ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara.

“Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama," kata Najib dalam ucapannya pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara seperti yang dilaporkan secara meluas media arus perdana dan portal atas talian.

Sejak itu, badan bukan kerajaan dan ahli politik pembangkang sering memberi tekanan kepada kerajaan agar mengotakan janji mereka.

Setahun selepas berjanji, Najib memberitahu BBC World News pada 2 Julai, 2013 kerajaan akan “pinda akta berkenaan tetapi mahu memastikan Malaysia aman dan harmoni”.

Pemimpin pembangkang dan kumpulan aktivis terus mendesak agar Najib mengotakan janjinya, lebih-lebih lagi apabila Putrajaya giat menggunakan akta itu terhadap musuh politik mereka. – 27 November, 2014.