Dakwaan kerajaan diskriminasi bina sekolah Cina dan Tamil tidak benar, kata Mary Yap

Dakwaan kerajaan diskriminasi bina sekolah Cina dan Tamil tidak benar, kata Mary Yap

Dakwaan kerajaan mengamalkan diskriminasi terhadap pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) adalah tidak benar, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching (gambar).

Beliau berkata kerajaan sebaliknya membenarkan tapak yang dirizab untuk Sekolah Kebangsaan, dibina untuk SJKC dan SJKT.

"Contohnya Kompleks Sekolah Wawasan Putra Heights (Subang, Selangor). Pada mulanya ia digunakan untuk membina Sekolah Kebangsaan, tetapi kini diserah untuk kegunaan semasa SJKC Sungai Long.

Begitu juga dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Mahkota yang ketiga akan dibina. Tetapi berdasarkan keperluan SJKT, maka SJKT Bandar Mahkota dibina," katanya menjawab soalan tambahan M.Kulasegaran (DAP -Ipoh Barat) di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Menjawab soalan Datuk Madius Tangau (BN-Tuaran) yang ingin tahu sama ada wujud peruntukan lain untuk membina sekolah, Yap berkata ada beberapa inisiatif boleh digunakan, antaranya melalui Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) di SJKC yang akan mencari sendiri dana masing-masing. – Bernama, 26 November, 2014.