Satira kegilaan Malaysia marcapada – Za’im Yusoff

Dicalonkan dalam sembilan anugerah festival antarabangsa termasuk berjaya menembusi Festival Filem Antarabangsa Lacarno, sebuah festival filem yang tertua selepas Cannes dan Venice, sudah cukup mengisyaratkan filem ini menjanjikan sesuatu.

Jujur, sesuatu itu wujud selepas pra-tonton semalam di GSC Pavillion.

Sesuatu bagi filem ini tidak lain tidak bukan pada bahasa satiranya.

Filem satira

Menghasilkan filem-filem satira sebaris dengan filem-filem satira antarabangsa semisal karya-karya Pier Paolo Pasolini lewat dekad 60-an dan 70-an, ternyata bukan kekuatan sinema Malaysia.

Paling kuat, satira Seniman Tan Sri P Ramlee lewat filem-filem semisal Bujang Lapok (1957), Nujum Pak Belalang (1959), Tiga Abdul (1964) dan beberapa percubaan oleh Mamat Khalid dalam Man Laksa (2006) mahupun siri Hantu Mak Limahnya di samping Apokalips (2014) yang sayang seribu kali sayang.

Namun, syukur seribu kali syukur – Lelaki Harapan Dunia (2014) dari Liew Seng Tat merupakan sesuatu yang memberahikan di saat ia berjaya menembusi pawagam nasional dengan begitu licik.

Kisah bermula dengan hajat Pak Awang mempersiapkan sebuah rumah kepada anak perempuannya yang bakal berkahwin dengan entah ketahuan suaminya. Lantas, dikumpul berpuluh-puluh orang kampung masuk ke dalam hutan hijau untuk memikul rumah klasik Melayu yang digelar Rumah Amerika lantaran asal rumah itu bercatkan putih persis The White House.

Dimulakan dengan kesepakatan bagai aur dengan tebing, kita ditempelak dengan seribu satu cerita carca-marba hingga penduduk berpecah-belah bagai garuda lewat menyinggah.

Beberapa satira

Rumah itu sekadar simbol satira. Rumah itu ialah Malaysia, ya – negara kita, rumah kita.

Sengaja memilih rumah kerana di situlah tempat kita semua bertanah. Malah hari ini, persoalan rumah rata-rata dimaklumi sebagai suatu masalah besar anak-anak muda.

Dalam filem ini dibebelkan secara tidak sedar – hingga memaksa ayah di kampung menyediakan kediaman untuk anak dan pasangannya sekalipun cuma di kampung. Kalau rumah batu-bata baru tidak mampu, rumah lama beranjung berperabung pun jadi.

Untuk memastikan hasrat Pak Awang berjaya, slogan Lelaki Harapan Dunia dicipta untuk dilaung-laung agar orang-orang kampung percaya akan kekuatan diri seraya berganding bahu melaksanakan visi dan misi mereka yang satu. Slogan yang juga judul filem ini sudah cukup mengumpan minda kita betapa positif mesej tersuratnya.

Sebaliknya di hujung cerita, barulah kita mengerti bahawa Lelaki Harapan Dunia sebenar-benarnya merupakan tempelakan pada slogan-slogan Malaysia Boleh yang hidup segan mati tak mahu.

Ia bermula lancar sebagaimana slogan-slogan negara saat bermulanya arus.

Namun, kekarutan dan kebodohan yang dipisahkan garis kabur yang nipis menyebabkan slogan-slogan negara itu hanya tinggal untuk menyedapkan teks-teks ucapan, ungkapan puisi-puisi basi mahupun novel-novel yang tidak laku. Bagi kes filem ini, slogan-slogan itu untuk mengisi ruang-ruang bunyi kompang.

Ia bermula dengan perkara yang entah wujud entah tidak. Beralaskan alasan “saya nampak lembaga hitam” dari seorang kutu dadah, kata-katanya dijulang sembah atas persoalan yang ditimbulkan seorang belia kampung, “macam mana kalau apa dia cakap benar?”

Tiada siapa mahu melawan, tiada siapa mahu soal selidik – semua terus membutakan kepercayaan meskipun hujah-hujah ternyata penuh dengan falasi dan straw man.

Lembu-lembu yang semua hilang, anak-anak dara lebam malah kehilangan unta korban; semuanya dikaitkan dengan teori konspirasi, “Sejak kita angkat rumah itu, macam-macam perkara tidak elok terjadi di kampung kita."

Akhirnya, sesuatu yang bermula dengan kebodohan akan berakhir dengan kegilaan sebagaimana yang ingin Seng Tat tonjolkan. Di akhir, lihatlah apa terjadi pada Pak Awang. Tidak ubah seperti Pak Kaduk yang malang.

Begitulah dengan apa yang berlaku di tanah air tercinta ini. Kita sudah hilang fokus. Asal negara ini untuk menjaga rakyatnya sudah beralih ke arah mengisi angka besar menuju negara maju.

Kita berpadu dari isu ke isu hingga meninggalkan kerja asal. Suara Pak Awang untuk kembali kepada fokus menyelesaikan kerja mengangkat rumah sudah beralih kepada hendak mencari unta yang hilang dan untuk menggaji orang-orang yang mencari.

Sedangkan Tok Penghulu sedari awal tahu, dia sedang berdalih di saat seratus ribu ringgit yang didanai Encik Juta Seri (ahli politik yang diraikan di awal plot) untuk projek korban unta, sembilan puluh empat ribu ringgit disumbat masuk ke dalam poket tanpa sekelumit rasa bersalah.

Ketirisan sebegini sudah berlaku dalam rekod-rekod audit seakan-akan sejak azali di tanah tumpah bertuah ini.

Antara lain yang menarik bagaimana Seng Tat memperagakan watak-watak orang-orang asing seperti tukang kayu Indonesia dan Solomon, warga negro yang menumpang teduh di Rumah Amerika.

Terasa begitu menyucuk ketika Pak Awang seakan terpaksa tawar-menawar ongkos agar berkurangnya kos untuk membaiki rumah dengan tukang kayu Indonesia. Sedangkan rumah Melayu itu bukankah sewajarnya ditukangi orang asal Melayu juga?

Solomon yang sebetulnya hantu itu pula akhirnya diangkat julang agamawan buta menerusi watak Tok Bilal lakonan Jalil Hamid hanya kerana dia mengaku sebagai orang-orang Encik Juta Seri.

Kerana ia keluar dari mulut seorang yang beragama, walaupun tanpa usul periksa – seluruh kampung yang mulanya syak terus menjulang Solomon bagai nak rak.

Akhirnya, Solomon bebas dan tukang kayu Indonesia untung dengan berkantung-kantung cat terjual. Namun, Rumah Amerika tetap tergendala dan seluruh penduduk menghambat orang minyak yang sebetulnya orang mereka sendiri.

Bukankah hal yang sama berlaku di Malaysia? Di saat bukan warganegara yang menguasai ekonomi dan kita pula ralit menyalah-nyalahkan sesama anak-anak ibu pertiwi?

Ini mengingatkan kita kepada “Sajak Kuala Lumpur kepada Raja Abdullah” oleh Zurinah Hassan dalam Salasilah (2005):

anak kita bermain senjata
anak orang bermain mata
kita hancur dibakar sengketa
dagang lalu membina kota.

Plot paling menyengat yang harus diberikan perhatian ketika orang-orang kampung begitu beriya-iya menyambut kedatangan Encik Juta Seri di awal-awal cerita.

Slogan “Selamat Bangsat” dan banyak lagi objek satira harus diperhatikan dengan cermat ketika kalian menontonnya di pawagam bermula Khamis, 27 November nanti.

Beberapa ulasan kritikan

Di akhir filem ini, saya tersenyum sinis ketika membaca beberapa kritikan dari dunia barat terhadap filem ini.

Ada yang berkomentar filem ini mengarut. Ada yang menggelarkan filem ini sebagai projek mengelar hak wanita lantaran tiada watak lakonan perempuan mahupun menindas hak-hak transeksual dan homoseksual kerana ia dijadikan bahan lawak jenaka tidak bersurutan.

Saya kasihan kepada pengkritik-pengkritik ini lantaran mereka sendiri tidak berlaku adil kerana tidak membacanya daripada perspektif sosio-masyarakat Malaysia marcapada.

Secara peribadi, isu transeksualiti dan homoseksualiti hanyalah sekadar subjek tabu yang diangkat oleh Seng Tat bagi menatijahkan bagaimana gilanya masyarakat kita yang menggunakan objek-objek tabu semisal ini (selain agama dan kaum) secara serius yang sebenarnya hanya layak ditertawakan sahaja kerana ia bermula dengan alasan yang tidak pun masuk akal.

Inilah hasil tiadanya budaya selidik-menyelidik yang ikhlas hingga mentragedikan kebobrokan di akhir cerita.

Mendiang Robin Williams ketika melakonkan watak Presiden Dwight D Eisenhower dalam The Butler (2013) pernah mengungkapkan dengan sinis:

"Orang sering berkata satira itu mati. Satira itu tidak mati, ia hidup dan sedang mendiami Rumah Putih ini".

Ya, rumah Amerika dalam filem inilah satira Malaysia bagi tahun ini.

Syabas Lelaki Harapan Dunia! Teruskan bersatira! – 26 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.