CSR 1MDB daripada hutang bukan keuntungan, kata DAP

Jawapan serupa Najib dan Jho Low wujudkan kesangsian, kata DAP

Dana yang digunakan untuk projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dijana oleh keuntungan, sebaliknya hutang besar yang dijamin kerajaan, kata DAP.

Ahli Parlimen Tony Pua (gambar) melalui kenyataannya hari ini berkata, sehubungan itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan tidak seharusnya begitu yakin syarikat itu bakal mencatat keuntungan selepas mengalami kerugian untuk tempoh tahun ini sebelum meneliti kedudukan kewangan syarikat tersebut.

"Beliau tidak seharusnya melindungi prestasi lemah 1MDB dengan mengatakan 1MDB membelanjakan RM382 juta untuk projek CSR. Dana yang dibelanjakan bukan datang daripada keuntungan tunai syarikat, tetapi daripada hutang besar 1MDB yang kini dijamin kerajaan," kata Pua.

"Ahmad seharusnya meneliti laporan kewangan 1MDB dan memahami punca kerugian serta aliran tunai syarikat sebelum mengulas lanjut isu itu," katanya.

Pua berkata, bukan seperti jangkaan Ahmad, syarikat itu akan kembali mengaut keuntungan untuk 2015, pendapatan operasi tidak akan meningkat kerana kontrak baru untuk loji jana kuasa masih belum dibina.

"Pada masa sama, kerja-kerja pembinaan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia juga belum bermula untuk menyaksikan keuntungan.

"Disebabkan kos pembiayaan dijangka meningkat lebih tinggi disebabkan penstrukturan semula hutang berisiko yang dilaksanakan, 1MDB seharusnya bersyukur untuk nasib baik mereka jika kerugian tidak menjadi lebih tinggi pada akhir Mac 2015," kata Pua, dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata, 1MDB memperoleh keuntungan sejak 2010 iaitu sebanyak RM424 juta, 2011 (RM544 juta), 2012 (RM44 juta), dan 2013 (RM778 juta).

Bagi tahun 2014 setakat ini, 1MDB bagaimanapun mencatat kerugian sebanyak RM665 juta.

"Kita akan teruskan projek CSR kerana yakin syarikat akan kembali mengaut keuntungan," kata Ahmad.

Ahmad turut berkata, sejak penubuhan 1MDB pada 2009, syarikat itu tidak pernah gagal melaksanakan 13 projek CSR kepada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kumpulan pelajar dan Orang Asli.

Pua berkata, pada 2014, kos kewangan 1MDB meningkat kepada RM2.4 bilion, namun, pendapatan operasinya berjumlah RM37 juta, dengan lain-lain pendapatan operasi termasuk faedah dan dividen pelaburan berjumlah RM751 juta.

"Tanpa mengambil kira penilaian semula hartanah, 1MDB akan mengalami kerugian RM1.61 bilion berbanding laporan mengatakan RM665 juta."

"Sehubungan itu, dengan menyekat pusingan penilaian semula tinggi aset hartanahnya, syarikat akan berterusan mengalami kerugian besar dalam tahun 2015 kerana keuntungan operasi loji tenaganya jauh daripada kemampuan untuk diatasi kepentingan terhasil daripada faedah hutang RM42 bilion," kata Pua.

Ahmad sebelum ini membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat berhubung kenyataannya yang kekurangan "enam perkataan", sekaligus mengakibatkan Ahli Parlimen Pandan dari PKR, Rafizi Ramli membawa usul membolehkan beliau dibawa ke jawatankuasa tersebut. – 24 November, 2014.