Advertisement

Kebebasan maklumat bukan untuk semarak ketegangan kaum dan agama, kata Najib

Najib wants stronger ties between Umno members and leaders – Bernama

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini menggesa orang ramai tidak menggunakan kebebasan maklumat diperoleh daripada Internet untuk tujuan menyemarakkan ketegangan kaum dan agama.

Najib berkata, demografi negara yang berbilang kaum dan agama diuji dengan bentuk kebebasan maklumat pada masa ini.

"Daripada pembulian siber hingga tindakan saman, era Internet membawa persoalan baru terhadap batasan kebebasan bersuara.

"Khususnya dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Kita jangan membiarkan Internet menjadi medium untuk menyemarakkan ketegangan kaum dan agama," kata Najib semasa merasmikan forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC pagi ini.

Najib yang juga perdana menteri berkata, ada ketikanya Internet digunakan untuk menyebarkan perkara tidak benar dan separuh benar.

"Oleh demikian, orang ramai mempunyai tanggungjawab memikirkan kandungan yang mereka kongsi.

"Dalam waktu tertentu, orang ramai perlu arif dan faham tidak semua dakwaan di Internet boleh diterima secara bulat-bulat," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata perbincangan secara terbuka perlu digalakkan tapi ia mesti dilakukan secara sihat.

"Kritikan berasas wajar digalakkan, ia sebahagian daripada perdebatan yang sihat.

"Tapi kadang kala kandungan melanggar batasan, menceroboh privasi peribadi, melanggar undang-undang atau menyebabkan ancaman fizikal," kata Najib.

Menurut Najib, Internet pada hari ini banyak mencorak peradaban suatu negara dan masyarakat kerana maklumat yang diperoleh berada di hujung jari sahaja.

"Bagi anak muda yang membesar dengan Internet, ia bukan lagi suatu keistimewaan atau hak tapi sebaliknya adalah sebahagian daripada kehidupan seharian mereka," katanya.

Walaupun Internet dilihat memberi banyak kelebihan, Najib berkata ia juga menjadi punca kepada banyak gangguan dalam kehidupan harian pada masa ini,

"Malangnya, era zaman maklumat juga merupakan zaman gangguan.

"Kita perlu tahu masa untuk letak telefon, berbual secara bersemuka dan bukannya menerusi FaceTime. Ia bergantung kepada individu dan keluarga untuk tentukannya," kata Najib.

Peranan internet banyak mengubah cara komunikasi dan penyebaran maklumat yang suatu ketika dahulu banyak bergantung kepada satu saluran arus perdana.

Berita dan maklumat juga mudah dicapai dan diperoleh dengan lebih pantas.

Teknologi Internet juga memberikan impak yang mendalam kepada Umno. Parti pemerintah tersebut mengalami kekalahan teruk dalam dua pilihan raya yang menyaksikan mereka hilang majoriti dua pertiga.

Salah satu faktor menyumbang kepada keputusan teruk diperoleh Umno juga disebabkan kelemahan dalam mengendalikan serangan yang dihadapi mereka dalam Internet menerusi media sosial dan portal alternatif. – 24 November, 2014.