Gopal Sri Ram ikrar ambil sebarang kes jenayah asalkan tiada konflik kepentingan

Gopal Sri Ram ikrar ambil sebarang kes jenayah asalkan tiada konflik kepentingan

“Saya seperti teksi dan mesti berkhidmat kepada mana-mana penumpang yang mahukannya.”

Itulah jawapan Datuk Seri Gopal Sri Ram apabila ditanya apa yang mendorongnya mengetuai kes rayuan liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu menggemparkan negara apabila mengetuai pasukan pembelaan Anwar apabila kes itu bermula dua minggu lalu.

Sri Ram yang pada satu ketika dulu seorang peguam terkemuka dan pernah mewakili Umno dan Barisan Nasional (BN) berkata beliau tidak berdepan dengan kesukaran untuk mewakili Anwar.

“Sebagai seorang peguam, saya melangkaui politik. Sesiapa saja yang mahu saya mewakilinya dalam kes jenayah, saya akan ambil kesnya dengan syarat tiada konflik kepentingan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Katanya, beliau tidak pernah memberikan nasihat kepada pihak pendakwaan dan tidak pernah terlibat dengan kes ini.

Sri Ram yang bersara sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2010 berkata dalam kes jenayah, tugas peguam adalah mengetengahkan kes terbaik untuk anak guamnya.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam kes sivil peguam berhak untuk menolak mewakili seseorang kerana tiada isu tentang nyawa dan kebebasan.

Sri Ram yang mula menjadi peguam pada 1970 berkata pernah mewakili parti komponen BN dan pembangkang sebelum ditugaskan di Mahkamah Rayuan pada 1994.

Beliau diingati ketika mewakili Umno selepas Mahkamah Tinggi pada 1988 kerana mengisytiharkan parti itu haram (kerana terdapat ahli daripada bahagian tidak berdaftar mengundi dalam pilihan raya parti pada 1987).

“Tetapi saya juga pernah mewakili ahli PAS (PP lawan Mamat Daud) yang didakwa mencetuskan ketidakharmonian dan perasaan kebencian disebabkan agama, mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Persekutuan memutuskan seksyen tersebut tidak berperlembagaan kerana Parlimen tidak mempunyai kuasa terhadap undang-undang persekutuan yang merupakan kuasa negeri.

Kes rayuan Anwar merupakan kes pertama diwakili Sri Ram, 71, secara sepenuhnya selama 8 hari di hadapan panel 5 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Beliau berkata, dalam kes jenayah, tidak kira Anwar atau anak guam lain, tiada istilah kes kecil.

“Bagi anak guam, semua kes janayah adalah kes besar kerana ianya menjejaskan kehidupannya. Sama ada kes kecurian RM2 atau rasuah RM2 tetap kes besar,” katanya.

Sri Ram berkata, dua peguam Anwar menemui dan memintanya untuk mengetuai pasukan pembelaan.

“Bukan saya yang menemui mereka dulu seperti yang ramai percaya,” katanya dan menambah hanya mempunyai 10 hari untuk membuat persiapan.

“Saya perlu belajar dengan cepat dan bernasib baik pasukan pembelaan sudah fasih dengan rekod rayuan.

“Mereka membantu saya mengenai fakta dan bukti penting. Itu sangat membantu saya,” kata Sri Ram dan menambah pasukan pembelaan Anwar yang seharusnya menerima pujian.

Sri Ram berkata, bukti perubatan dan forensik, penahanan awal Anwar, tuduhan Mohd Saiful Bukhari Azlan (pengadu) dan testimoni bukan perubatan dan bukan forensik merupakan 4 tajuk kritikal yang perlu dihadapi pasukan pembelaan.

Katanya, Karpal Singah banyak berjasa dalam kes ini melalui soal balas dan memberikan fakta penting untuk pasukan pembelaan.

Karpal yang mengetuai pasukan pembelaan Anwar terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Perak pada 17 April lalu.

Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman 5 tahun penjara kepada Anwar, 67, pada 7 Mac dan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada Januari 2012 yang membebaskannya.

Ketua umum PKR itu dituduh meliwat Saiful, bekas pembantunya di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun, 2008.

Karier politik Anwar akan berakhir sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah Mahkamah Rayuan.

Dalam berdepan dengan Peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan Sri Ram berkata:

“Beliau melakukan yang terbaik untuk kes itu dalam keadaan ini, di mana kami menganggap pihak pembelaan mempunyai rayuan yang baik,” katanya.

Shafee sebelum ini pernah mengendalikan banyak kes di hadapan Sri Ram di Mahkamah Rayuan, dalam kes jenayah dan sivil.

Pada 2006, panel 3 hakim Mahkamah Rayuan diketuai Sri Ram mendakwa Shafee menghina mahkamah berhubung satu kes sivil.

Peguam yang mewakili Metramac Corporation itu menghantar aduan 4 mukasurat kepada presiden Mahkamah Rayuan dan ketua hakim dengan salinan kepada Sri Ram dan panel hakim lain, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Shafee mendakwa panel hakim berat sebelah.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail diminta membantu mengenal pasti sama ada Shafee melakukan penghinaan mahkamah atau tidak.

Peguam negara minta sebulan untuk menyiasat perkara itu dan melaporkannya kepada mahkamah tetapi tiada apa-apa berlaku selepas itu.

Perkara itu akhirnya ke Mahkamah Persekutuan di mana keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada Fawziah Holdings untuk tuntutan daripada perjanjian pengiklanan.

Sri Ram berkata, kes itu berlaku pada zaman gelap bekas Ketua Hakim Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

“Ketika zamannya beberapa penghakiman yang meragukan disampaikan oleh Mahkamah Persekutuan termasuk kes Perdana Merchant Bank dan Asean Paper Mill. Ia adalah masa yang teruk kepada badan kehakiman,” katanya. – 10 November, 2014.