Bersih 2.0 anjur forum kenang kembali kegagalan PRU13

Table Sabah RCI report on illegal immigrants by Monday, Bersih tells Putrajaya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan menganjurkan sebuah forum menyingkap kembali kegagalan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi mengelak kesilapan sama berulang pada masa depan.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah (gambar) berkata menerusi forum berkenaan, orang ramai akan mendapat lebih maklumat mengenai cadangan Tribunal Rakyat bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini.

“Kita tidak boleh menunggu sehingga pilihan raya semakin hampir untuk bertindak. Kita perlu berwaspada terhadap manipulasi institusi yang diamanahkan untuk menyempurnakan hak kita bagi menentukan pilihan sendiri.

“Ini memerlukan penglibatan berterusan rakyat bagi memastikan mereka bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, rakyat perlu konsisten dalam menuntut pembaharuan pilihan raya kerana laporan Tribunal Rakyat mendapati tiada pihak bertanggungjawab dalam kegagalan PRU13.

“Kita tidak harus hilang fokus. Kita harus ingat dan menjadikan Tribunal Rakyat sebagai peringatan yang PRU13 tidak bersih dan adil.

“Kita mesti terus berjuang untuk pilihan raya yang bebas dan adil untuk generasi akan datang.

“Hal ini sangat bertepatan untuk kita mengingati hasil dapatan Tribunal Rakyat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan cadangan persempadanan,” katanya.

Bersih 2.0 akan mengadakan forum berkenaan pada Rabu, jam 8 malam bertempat di Hotel Mandarin Court Kuala Lumpur.

Forum bertajuk “PRU13: Bersih dan Adil? Keputusan Tribunal Rakyat” menampilkan Ambiga, Maria dan Profesor Gurdial Singh Nijar selaku peguam utama tribunal berkenaan.

Laporan tribunal yang disediakan dalam bahasa Melayu dan Inggeris kini boleh dimuat turun di laman sesawang Bersih 2.0. – 3 November, 2014.