Hati Rosmah mulia laksanakan Permata, kata ahli Parlimen Umno

Rosmah merungut terpaksa bayar RM1,200 dandan rambut

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Azeez Rahim hari ini di Sidang Dewan Rakyat mempertahankan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengenai pelaksanaan program kontroversi Permata Negara (Permata).

Ketika membahaskan pembentangan Bajet 2015, beliau mempertikaikan pembangkang yang dilihat suka menyerang isteri perdana menteri dalam isu Permata.

Azeez yang juga pengerusi Kelab Presiden Putera 1Malaysia berkata, hati isteri perdana menteri itu begitu mulia hingga sanggup melakukan kerja kebajikan seperti program Permata.

"Ini isu pendidikan dan moral insan kita kena perkasakan, jangan bahas tunding jari sebab orang itu Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri.

"Takkanlah kawan (Rosmah) itu hati busuk, orang (Rosmah) itu hati mulia sebab itu buat kerja macam ini, kita ketepikan pandangan tidak elok," katanya di Sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau pada masa sama turut menyarankan pembangkang untuk bersemuka secara satu meja bagi menyuarakan persoalan mengenai program Permata.

Antara lain, beliau juga menawarkan diri untuk menjadi orang tengah mengadakan perjumpaan bersama Rosmah.

"Jadi kita ketepi pandangan yang tidak elok, saya ajak kalau nak jumpa nak bincang saya bawa.

"Kita tidak kenal maka tak cinta, kita dengar persepsi dan kata macam-macam," katanya.

Ketika perbahasan, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin bangkit dengan menyatakan isu Permata adalah mengenai wang rakyat, ia harus dibentangkan dan harus didedahkan.

"Ampang perlu tulis surat kepada Kementerian Pendidikan tanya mereka kerana program ini juga terlibat bersama kementerian.

"Kementerian tahu apa program yang dilaksanakan, bila bahas masuk, jangan asyik hendak jadi nasi tambah," kata Azeez.

Sambil mengulangi pendiriannya menyatakan Permata merupakan sebuah program yang baik, Azeez turut menyeru pembangkang untuk bersama menyokong pelaksanaan itu daripada selalu berprasangka buruk.

"Saya hendak nyatakan kepada pembangkang, rakan-rakan yang ada di Parlimen ini, kenapa tidak kita menyokong Permata, lepas itu kita jumpa, tanya soalan kemudian boleh bantu.

"Saya ini tidak kiralah, PAS ke PKR saya bantu, bila saya jadi ahli Parlimen kita buang yang keruh ambil yang jernih," katanya.

Situasi bertambah tegang apabila Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang mencelah dan berkata kepada Azeez tidak ada siapa yang berprasangka buruk kepada Rosmah.

"Baling, tidak ada orang berprasangka buruk terhadap isteri perdana menteri, kita tidak kata begitu yang kata begitu keluar dari mulut Baling," kata Chua.

Azeez kemudiannya menjawab kembali dengan menegaskan soalan yang dibangkitkan pembangkang mengenai Permata adalah berprasangka buruk.

"Soalan itu berprasangka buruk kita didik anak generasi akan datang untuk pastikan mereka jadi aset modal insan berguna bukan modal insan yang mengaruk, buat kacau di universiti, protes di UM, semalam di UKM.

"Saya kata lagi sekali niat murni dan hala tuju Permata betul memastikan masa depan anak tanpa mengira fahaman, bangsa kaum dan agama," katanya.

Permata merupakan projek perintis yang dicetuskan Rosmah di mana dalam pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober lalu, sebanyak RM711 juta diperuntukkan untuk program itu. – 30 Oktober, 2014.