Masalah banjir di klia2 satu jenaka besar, dakwa DAP

DAP hari ini membidas Kementerian Pengangkutan gara-gara gagal menyelesaikan masalah banjir, retakan dan tanah tenggelam yang berlaku di klia2.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, menyifatkan masalah yang berlaku di klia2 itu sebagai jenaka kerana ia sepatutnya tidak terjadi pada lapangan terbang yang kononnya dibina menggunakan teknologi tinggi.

Ini katanya merujuk kepada sebuah video yang dimuatnaik di Youtube semalam bertajuk "Banjir@KLIA2" menunjukkan beberapa pekerja lapangan terbang tersebut melakukan kerja-kerja pembaikan di kawasan landasan yang dinaiki air.

"Masalah banjir di klia2 sudah menjadi jenaka apabila terjadi di lapangan terbang yang dipanggil berteknologi tinggi," kata Pua (gambar, kanan) pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas mengenai video tersebut berkata insiden dikatakan berlaku pada minggu lepas dan baru dimuatnaik semalam.

"Saya difahamkan ini bukan pertama kali insiden landasan tersebut dinaiki air dan ia berlaku ketika ia masih beroperasi. Mereka bernasib baik kerana lapangan itu masih tidak sibuk," katanya.

Pada masa sama, Pua yang juga ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ‎menyelar jawapan Kementerian Pengangkutan mengenai masalah klia2 yang menelan belanja RM4 bilion.

Pua berkata dalam soalan lisan Parlimen kepada Kementerian Pengangkutan mahu penjelasan mengenai langkah Malaysia Airports Holding Berhad mengatasi masalah lapangan terbang yang masih kerap berla‎kunya retakan dan mendapan di landasan.

Beliau berkata pihaknya keliru dengan jawapan tersebut yang menyatakan mendapan adalah dijangka dan diambil kira semasa pembinaan lapangan terbang itu.

Dalam jawapannya, kementerian memberi jaminan keselamatan operasi dan penerbangan di klia2 tidak terjejas akibat mendapan dan takungan air tersebut.

Pua berkata MAHB gagal memberi laporan penuh mengenai masalah itu di prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Kita di PAC meminta laporan tersebut dan mereka ketika itu memaklumkan akan memberi kepada kita, namun sehingga kini kita masih tidak terima," katanya. – 30 Oktober, 2014.