Pemimpin PKR beri penjelasan kepada pelajar Malaysia di Australia

Pemimpin PKR beri penjelasan kepada pelajar Malaysia di Australia

Ahli akademik Putrajaya antara mereka yang menghadiri sesi penerangan pemimpin PKR di Australia, ketika barisan pemimpin berkenaan menamatkan jelajah 5 hari jelajah mereka untuk beri penjelasan berhubung penggunaan Akta Hasutan dan Langkah Kajang.

Siri jelajah itu dianjurkan kumpulan yang baru dibentuk iaitu Malaysian Progressives in Australia (MPOZ), dengan siri jelajah di beberapa kawasan termasuk Melbourne, Adelaide dan Canberra.

Seorang koordinator MPOZ berkata, kumpulan itu menganggapnya sebagai "kejayaan terbesar" apabila berjaya menarik sekumpulan besar pelajar Malaysia, termasuk ahli akademik yang ditaja Putrajaya menghadiri jelajah berkenaan.

Koordinator MPOZ Melbourne Praveen Nagappan berkata 150 orang hadir ke dua forum yang dianjurkan di dua bandar baru-baru ini.

Sesi pertama adalah antara Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli bersama 60 pelajar, termasuk ahli akademik Putrajaya, manakala sesi kedua adalah ceramah pemimpin pembangkang yang dihadiri 90 orang.

Nagappan, seorang juruaudit yang berpangkalan di Melbourne sejak 13 tahun lalu berkata, mereka yang hadir begitu bersemangat berinteraksi dengan pemimpin PKR bertanyakan berkenaan pengajaran daripada Langkah Kajang, pemilihan PKR dan peningkatan kumpulan ekstremis.

Mereka juga membincangkan mengenai pengukuhan belia, wanita dalam politik dan polisi perumahan di Malaysia.

Nagappan berkata, beliau melihat pemimpin PKR terbuka untuk sebarang pertanyaan, kualiti yang jarang terdapat dalam kepimpinan Malaysia.

"Dengan forum dianjurkan sebelum ini, apa yang mengejutkan saya adalah pemimpin pembangkang berusaha menemui pelajar Malaysia bukan untuk berkenduri, tetapi memberikan peluang diri mereka di soal.

"Rafizi, berusaha menerangkan justifikasi Langkah Kajang walaupun dilihat tidak popular dalam kalangan pelajar.

"Saya tidak pernah melihat ahli politik daripada pihak lain melakukannya. Saya sebelum ini tidak mengetahui forum berkenaan justifikasi PKFZ atau NFC, " kata Nagappan.

“Forum itu juga amat berjaya dengan kehadiran pelajar termasuk ahli akademik Putrajaya," kata Nagappan kepada The Malaysian Insider melalui kenyataan emel.

"Mereka kumpulan yang tidak terpengaruh dengan retorik, tetapi pemikir," katanya.

Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan mengetuai beberapa delegasi pemimpin PKR mengadakan jelajah di Australia, meliputi 5 bandar bermula 17 Oktober sehingga 23 Oktober. Selain Melbourne, Canberra dan Adelaide, mereka turut mengadakan siri jelajah sama di Perth dan Sydney.

Delegasi lain termasuk Darell Leiking, ahli Parlimen Penampang, Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Wong Chen (Kelana Jaya) termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia) dari Selangor dan Adun Semambu, Pahang Lee Chean Chung,

Melissa Sasidaran, peguam hak asasi manusia turut menyertai delegasi berkenaan.

Di Canberra, forum itu dihadiri 90 orang, separuh daripadanya adalah ahli akademik Putrajaya, kata Sum Dek Joe, pelajar di bandar itu.

"Mereka menangani rasa takut untuk menghadirkan diri.

“Ahli Parlimen dan Adun tidak fokus mengkritik kerajaan, sebaliknya memberikan penekanan kepada dinamika Pakatan Rakyat dan tindakan mereka apabila memenangi pilihan raya," kata Sum.

Di Adelaide, 60 pelajar menghadiri forum sama sementara 25 lagi menghadiri sesi tertutup, kata Megat Aiman.

Pelajar itu bagaimanapun berkata, ada yang takut untuk hadir kerana khuatir ada wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hadir.

Aiman berkata, 60 pelajar di forum itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk kumpulan "berorientasikan Islam" dan mereka yang "lebih terbuka dan liberal".

Sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang menetap di Australia turut menghadiri forum tersebut.

"Walaupun budaya ketakutan masih ada, mereka yang hadir menunjukkan sikap optimis dan bersemangat," kata Aiman.

Selain bertemu pelajar, delegasi PKR turut menemui Menteri Luar Australia Julie Bishop dan Senator Nick Xenophon di Canberra.

Mereka membincangkan rayuan terakhir kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penggunaan Akta Hasutan oleh Putrajaya.

Sum berkata, pemimpin PKR turut bertemu beberapa pemimpin kerajaan Australia termasuk Jawatankuasa Bersama Parlimen berkenaan Imigresen, Hak Asasi Manusia, Senat Australia, Jabatan Hubungan Luar dan pegawai perdagangan untuk Malaysia, Brunei, dan Singapura.

Nagappan berkata, pergerakan baru itu turut mensasarkan memenuhi kekosongan persatuan pelajar sedia ada, seperti Malaysian Students' Council of Australia (Masca) yang diwujudkan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan.

Sim, yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, beliau kagum dengan MPOZ yang mengamalkan sikap rakyat Malaysia yang "bersederhana tidak lagi mahu hanya sekadar memerhati".

"Mereka mahu suara mereka didengar dalam membuat keputusan berkenaan masa depan negara, dengan mempromosikan politik sederhana dan idealisme progresif," katanya. – 24 Oktober, 2014.