CBRS, IAP jadi inisiatif unik Malaysia bangunkan PKS

Clarify CIMB’s role in sale of 1MDB power assets or face panel, says Pakatan

Dana Pembangunan Pasaran Modal dan Skim Penyelidikan Bursa (CBRS) serta Platform Akaun Pelaburan (IAP) adalah inisiatif unik Malaysia bagi memajukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (gambar).

Beliau berkata, matlamat CBRS adalah meningkatkan profil syarikat senaraian awam kecil dan sederhana dengan menawarkan perlindungan penyelidikan.

"Ini meningkatkan daya tarikan mereka kepada pelabur dan memberi pilihan berdaya maju untuk PKS mengumpul pembiayaan melalui pasaran ekuiti dan tidak hanya bergantung ke atas pembiayaan hutang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Husni menghadiri hari kedua mesyuarat Menteri Kewangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) ke-21 di Beijing, China.

Di antara topik perbincangan ialah potensi ekonomi global dan serantau, di samping tindak balas Apec kepada risiko serta mengukuhkan kerjasama ekonomi, fiskal dan dasar percukaian global dan serantau.

Husni berkata, IAP yang diumumkan dalam Bajet 2015 baru-baru ini akan dilaksana dengan dana permulaan RM150 juta.

"Ia akan menawarkan peluang kepada pelabur untuk membiayai aktiviti keusahawanan dan membangunkan PKS," tambahnya.

Ketika ini, PKS mewakili 99 peratus daripada keseluruhan syarikat di Malaysia dan menyumbang kira-kira 31% kepada keluaran dalam negara kasar.

Mengenai Apec, beliau berkata, negara anggota perlu mencari jalan untuk memanfaatkan platform Apec, termasuk peranan yng boleh dimainkan untuk merangsang pertumbuhan di rantau lain, terutama Eropah, yang kini rapuh.

"Rantau Apec mempunyai kedudukan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi global," katanya.

Menurutnya, pelbagai penyelesaian diperlukan bagi menangani ketidaktentuan ekonomi global dan mesti disesuaikan dengan keadaan ekonomi negara.

Husni berkata, badan pelbagai hala perlu menjalankan kajian kualitatif ke atas setiap negara dalam usaha menawarkan bantuan yang lebih cekap dan berkesan.

Menteri itu juga menyatakan kebimbangan ke atas pertumbuhan perbankan bayangan dan kelakuan kewangan berisiko tinggi yang menjadi punca krisis ekonomi global dan menggesa penggunaan dan pengetatan sistem regulatori yang akan mengurangkan risiko mencetuskan satu lagi krisis.

Mesyuarat itu berakhir dengan kenyataan bersama peringkat menteri yang menyentuh perkara yang dibincangkan.

Mesyuarat Menteri Kewangan Apec ke-22 akan diadakan di Cebu, Filipina pada 10 hingga 11 September 2015. – Bernama, 23 Oktober, 2014.