Kerajaan Pulau Pinang jalankan bancian penyewa layak duduki PPR

Checks must be done to up safety in high-rise buildings, says analyst – Bernama

Kerajaan negeri menjalankan bancian terhadap penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk memastikan penduduk sedia ada, betul-betul layak mendiaminya.

Exco Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo berkata bancian dijalankan berikutan aduan terdapat penyewa rumah PPR melepasi tahap kelayakan yang ditetapkan.

"Rumah PPR disewa kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan dan kita dapati ada aduan menyatakan mereka yang tidak layak sedang menggunakan rumah-rumah (PPR) ini," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Menurut Jagdeep setakat Julai lepas, tunggakan sewa dan penyelenggaraan rumah PPR di negeri itu mencecah RM14.16 juta.

Katanya, terdapat aduan yang mendakwa penyewa PPR tersebut menggunakan kereta mewah serta mampu melanggani perkhidmatan televisyen berbayar, Astro.

Beliau berkata, mengikut perjanjian sewa antara penyewa dan kerajaan negeri, penyewa PPR tidak dibenarkan memasang Astro dan adalah amat mengecewakan mereka yang mempunyai Astro tidak membayar sewa dan kos penyelenggaraan.

Jagdeep berkata rumah PPR disewa kepada golongan miskin dan miskin tegar dengan kadar RM120 sebulan meliputi RM100 sebagai bayaran sewa dan RM20 sebagai kos penyelenggaraan.

Justeru, katanya penyewa PPR perlu faham bayaran penyelenggaraan sebanyak RM20 perlu dijelaskan kerana ia digunakan untuk menjaga bangunan dan kemudahan seperti tangki air dan lif. – Bernama, 23 Oktober, 2014.