Dari tunai ke makanan, BR1M tetap tidak fokus basmi kemiskinan – Ginie Lim

Cadangan kerajaan menukarkan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dari bentuk tunai kepada bentuk makanan pada tahun 2016 amat merisaukan kerana kerajaan tetap tidak fokus pada dasar yang dapat membantu golongan miskin “keluar dari kemiskinan” (graduate) dengan sasaran yang jelas.

Sebaliknya langkah ini hanya akan mengekalkan rintangan struktural yang menghalang seseorang itu “keluar dari kemiskinan”dan mewujudkan kebergantungan pada bantuan kerajaan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah pada 13 Oktober menyatakan kerajaan bakal menukarkan BR1M dari bentuk bantuan langsung tunai (cash transfer) kepada kupon makanan (food stamp). Langkah ini dikatakan perlu bagi mengelakkan penerima bantuan “menyalahgunakan” BR1M untuk membeli barangan mewah atau rokok, serta mewujudkan mekanisme yang lebih tersasar pada golongan miskin.

Institut Rakyat berpendirian kerajaan sewajarnya menilai keberkesanan BR1M dalam konteks membasmi kemiskinan dan mengambil kira beberapa isu asas yang berhubung dengan BR1M dalam membuat keputusan samada BR1M harus diteruskan atau digantikan dengan sistem kupon makanan.

Hal ini kerana BR1M menelan wang rakyat sebanyak RM14.3 bilion sejak tahun 2012.

Antara isu yang berhubung dengan BR1M adalah ianya berkontradiksi dengan dasar pembangunan negara yang masih berlandaskan kuota kaum dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sedia ada, malah bantuan yang bersifat sementara dan one-off tidak dapat mengatasi isu hutang isi rumah serta kos sara hidup yang melambung tinggi disebabkan inflasi dan rasionalisasi subsidi [1].

Hakikatnya, kemiskinan wujud dalam pelbagai dimensi secara kualitatif, bukan sekadar kuantitatif dari segi ekonomi.

Rintangan struktural yang menyebabkan seseorang itu terperangkap dalam kemiskinan adalah termasuk jantina, kaum, kelas, pendidikan ataupun geografi.

Maka strategi pertambahan pendapatan secara langsung melalui BR1M adalah tidak memadai dalam usaha membasmi kemiskinan.

Persoalannya apakah sistem kupon makanan, baik dalam bentuk baucer atau MyKad, satu alternatif yang lebih baik daripada bantuan langsung tunai?

Insitut Rakyat beranggapan sistem kupon makanan akan berhadapan dengan isu yang sama seperti bantuan langsung tunai sekiranya kerajaan terus mengetepikan rintangan struktural sepertimana yang disebut.

Secara umum, kupon makanan merupakan salah satu mekanisme membasmi kemiskinan di mana penerima bantuan memperoleh makanan daripada kedai tertentu dengan menunjukkan baucer yang diberikan kerajaan.

Menurut Laporan Program Makanan Sedunia, sistem ini amat sesuai di lokasi yang mempunyai risiko tinggi ataupun dilanda krisis, di mana pasaran adalah lemah ataupun terputus[2].

Jelas sistem kupon makanan tidak akan dapat mengurangkan kemiskinan negara ini, sebaliknya ia menimbulkan tiga isu: 1) keuntungan eklusif kepada kroni yang mendapat kontrak bantuan makanan seperti Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M); 2) isi rumah miskin tidak dapat menggunakan kupon makanan sepenuhnya seandainya berlaku kecemasan seperti sakit atau kemalangan, atau untuk tujuan lain seperti pendidikan dan pengangkutan; 3) stigma sosial di mana penerima bantuan makanan menerima pandangan negatif daripada masyarakat sekitar.

Institut Rakyat menyarankan agar kerajaan fokus pada kerangka besar ekonomi negara dalam meningkatkan pendapatan boleh guna (disposable income) rakyat khususnya mereka yang susah.

Antara strategi yang wajar diutamakan adalah peningkatan nisbah perkongsian gaji atau upah pekerja daripada keseluruhan ekonomi dari 33.6% pada tahun 2013 kepada 50% menjelang 2020 sepertimana yang dicadangkan dalam Belanjawan 2015 Pakatan Rakyat[3].

Sasaran ini adalah munasabah agar kekayaan yang dijana bersama dapat dikongsi dengan lebih adil, berbanding dengan sasaran kerajaan persekutuan yang hanya 40% menjelang 2020.

Kaedah bagi melonjakkan kenaikan gaji secara konsensus boleh dilakukan melalui sistem tripartite yang merangkumi pihak majikan, kesatuan dan kerajaan.

Sesungguhnya sebarang program membasmi kemiskinan seharusnya berteraskan konsep “keluar daripada kemiskinan” dengan sasaran yang jelas dan mekanisme pemantauan yang telus, bukannya untuk mewujudkan lebih banyak lagi program atau lebih ramai penerima seperti BR1M, baik dalam bentuk tunai mahupun makanan, yang akhirnya hanya akan menjurus kepada kebergantungan dan eksploitasi politik. – 16 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.