Hak kebebasan beragama perlu dihormati – Hasmy Agam

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kesal dan risau terhadap justifikasi yang diberikan oleh pihak kerajaan dan juga hasil dapatan pihak berkuasa seruan yang keterlaluan untuk membakar Alkitab, Bible berbahasa Melayu bukan satu ugutan terhadap suatu kumpulan masyarakat tetapi dilakukan demi mempertahankan Islam.

Sungguhpun Suhakam memahami sepenuhnya tahap sensitiviti isu agama di negara ini serta berpendapat setiap individu dan komuniti, tanpa mengira perbezaan dalam kepercayaan, menikmati hak asas kepada agama dan kebebasan untuk menganut kepercayaan mereka seperti yang terjamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 18 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Suhakam mengulangi seruan agar pihak kerajaan memenuhi komitmen yang dibuat, sama ada secara dasar atau sepenuhnya, semasa sesi kedua Penilaian Penggalan Sejagat (UPR) berkenaan dengan keperluan untuk memerangi segala bentuk diskriminasi terutama sekali diskriminasi terhadap agama, melindungi kumpulan agama minoriti dalam negara ini mendamaikan fahaman agama Islam dan agama lain, serta mempromosi dan melindungi hak semua orang untuk menyembah dalam keadaan aman dan damai tanpa diskriminasi atau sekatan.

Sehubungan ini, amat penting bagi kerajaan memerangi tindakan termasuk ugutan dan gangguan yang menggalakkan fahaman keagamaan yang melampau dan perasaan benci di antara komuniti agama yang berbeza, bagi melindungi hak asasi semua orang untuk mengamalkan kepercayaan mereka secara bebas seperti mana yang diamalkan sekian lama dalam negara ini.

Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, keamanan dan keharmonian dalam negara harus dijamin melalui dasar dan amalan kesederhanaan – satu pendekatan yang digalakkan oleh kerajaan di peringkat antarabangsa dan yang harus dipuji.

Dalam konteks ini, adalah penting kenyataan keterlaluan itu, yang tidak selaras dengan dunia global pada hari ini, akan menyampaikan mesej yang salah kepada orang ramai sekiranya tidak dikecam oleh pihak berkuasa dan akan menambahkan salah faham dan perpecahan di kalangan mereka.

Pada masa yang sama, Suruhanjaya mengambil kesempatan ini untuk memperbaharui seruannya agar Akta Hasutan yang ketinggalan zaman ini dimansuhkan secepat mungkin, atas sebab yang dinyatakan di dalam kenyataannya sebelum ini, antaranya adalah ia tidak selaras dengan prinsip dan norma hak asasi manusia antarabangsa. – 11 Oktober, 2014.

* Tan Sri Hasmy Agam adalah pengerusi Suhakam.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.