Jakim mahu diskusi meja bulat Islam liberal disekat

Tiada toleransi terhadap penyelewengan sijil halal, kata Jakim

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpandangan cadangan penganjuran diskusi meja bulat membincangkan soal fundamentalisme tentang agama melibatkan seorang tokoh liberal luar negara perlu disekat.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata jabatan itu mengambil maklum usaha pihak tertentu untuk membawa masuk seorang tokoh liberalisme agama luar negara ke satu perbincangan meja bulat bertajuk "Tentangan Fundamentalisme Agama di Abad Ini" di Bukit Damansara pada 18 Oktober.

Beliau menegaskan Malaysia berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Tahun 1996 yang menetapkan hanya aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja dibenarkan diamalkan di Malaysia.

"Maka sebarang usaha membawa pemikiran yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan dikenalpasti boleh memberi ancaman dan menggugat pegangan akidah umat Islam di Malaysia perlu dihalang dan disekat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan beliau merujuk kepada diskusi anjuran Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) bersama Islamic Renaissance Front yang dijadualkan diadakan antara lain menampilkan tokoh liberal Indonesia Dr Ulil Abshar Abdalla.

Selain Ulil Abshar, anggota panel lain yang dijangka mengambil bahagian ialah pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Tajuddin Rosdi dan Dr Ahmad Farouk Musa dari Islamic Renaissance Front.

Othman berkata Jakim berpandangan usaha meja bulat untuk membincangkan isu berkaitan liberalisme agama yang dicadangkan perlu dihentikan kerana tokoh yang terlibat adalah dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai autoriti dan boleh membawa implikasi buruk yang boleh menimbulkan keresahan awam.

Beliau berkata pihaknya juga maklum tokoh yang diundang merupakan pendokong aliran pemikiran liberal yang dikaitkan sebagai penyokong ajaran Ahmadiah/Qadiani yang difatwakan keluar daripada Islam di Malaysia dan Indonesia.

"Penampilan pihak-pihak ini ke Malaysia bukan sahaja boleh merosakkan hukum syarak secara halus, malah bahaya dan dikuatiri boleh menggugat persoalan akidah," katanya.

Pandangan Jakim itu, katanya adalah selari dengan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-8 yang bersidang pada 24-25 September 1984 yang membincangkan Penyelewengan Qadiani/Ahmadiah.

Katanya muzakarah memutuskan bahawa puak Qadiani /Ahmadiah adalah puak yang terkeluar daripada Islam dan tidak boleh menerima hak-hak sebagai seorang Islam termasuk pengkebumian dalam tanah perkuburan Islam.

Sehubungan itu, katanya, Jakim memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Dalam Negeri dan berharap penganjurannya disekat. – Bernama, 10 Oktober, 2014.