Pengwajahan media dan imaginasi Isis – Ismail Hashim Yahaya

Imaginasi Isis tentang pembentukan khilafah Islam dengan pengisian keganasan, pembunuhan dan penyembelihan menyebabkan dunia mengaitkan Islam dengan keganasan, kekejaman dan kekerasan.

Apa yang mencetuskan persoalan sekarang ialah melalui politik keagamaan, keganasan bagi pelakunya dianggap sebagai suatu perjuangan menggunakan kekerasan yang bertujuan tidak hanya membela agama, tetapi juga dalam mencapai idealisme teologi berjuang demi Allah dalam berjihad dan mati syahid.

Ini adalah keyakinan agama yang dijanjikan syuga dan kehidupan kekal di dalamnya.

Imaginasi kesyahidan, masuk syurga melalui wasilah keganasan menjadi semacam mesin pendorong keganasan dan inilah yang disebutkan sebagai “imaginasi Isis”.

Suatu bentuk imaginasi dalam mencapai idealisme theologi-transendental menggunakan wahana dengan cara kekerasan dan keganasan secara intensif.

Inilah yang berlaku kepada kumpulan Jabhat al-Nusra dan Isis di Iraq, Syria dan juga Libya.

Apa yang menarik untuk diperhatikan, imaginasi keganasan dan kekerasan ini tidak sahaja dikembangkan oleh pengganas itu sendiri tetapi pelaku atau aktor anti-keganasan seperti Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Melalui filem, media antarabangsa dan seumpamanya AS mengembangkan imaginasi-imaginasi mengenai individu seperti Osama bin Laden, Abu Bakar Ba'asyir, Abu Durjana, Ayman al Zawahiri, Abu Bakr al-Baghdadi, atau kelompok pengganas seperti al-Qaeda, Jabhat al-Nusra.

Walaupun Hamas adalah pertubuhan yang mendirikan kerajaan melalui kemenangan dalam pilihan raya, regim pengganas Israel masih mencorakkan Hamas sebagai kumpulan pengganas dan cuba melestarikan tindakan Hamas mempertahankan kedaulatannya sebagai tindakan keganasan.

Citra-citra atau pengwajahan yang bersifat anti-kemanusiaan, kekejaman, syaitan dan kebiadaban digunakan bagi melukiskan tindakan keganasan yang dilakukan oleh para pengganas tetapi dilukis dan diimaginasikan dengan agama Islam.

Dalam hal ini, pengganas dan keganasan menjadi suatu istilah yang dikosongkan dari makna pada peringkat awalnya kemudian diisikan dengan citra, makna atau konotasi yang sesuai dengan kepentingan pihak tertentu.

Oleh itu dalam menjelaskan kata “terrorism” atau keganasan dalam Bahasa Melayunya, ia telah menjadi perkataan propaganda yang tidak mempunyai makna neutral.

Definisi dan maknanya diputar belit dan dilencongkan sehingga menjadi bias kepada sesuatu kelompok, masyarakat, bangsa dan agama.

Perkataan “terrorism” itu diisi dengan makna yang denotatif iaitu “mereka” (they) sementara konsep “kita” (we) digunakan untuk menjelaskan gerakan sejagat menentang keganasan (terrorism).

Dalam hal ini perkataan terrorism menjadi imaginasi berganda kerana mengikut cendiakiawan semitioka dari Indonesia Dr Yasraf Amir Piliang pertama, imaginasi para pengganas mengenai dirinya sendiri yang menghasilkan citra itu sendiri iaitu jihad menentang kezaliman dan kejahatan.

Dalam hubungan ini dikaitkan dengan jihad di Syria dan menentang si Iblis dan Dajal kebendaan dan teknologi AS itu.

Individu-individu Islam dari Britain, negara Arab bahkan juga dari Malaysia terlibat dalam imaginasi tersebut berjihad di bumi Syria bersama-sama kumpulan-kumpulan tajaan Arab Saudi, Qatar, Turki dan AS juga.

Imajinasi para pengganas membangunkan sebuah komuniti bayangan iaitu pembentukan sebuah khilafah Islam, kelompok yang merentasi sempadan geografi dan budaya dalam melakukan tugas suci dalam memerangi kaum kafir Amerika dan kelompok Islam yang dilabel kafir dalam hal ini merujuk kepada mahzab Syiah secara pukul rata atau blanket, seolah-olah dalam mazhab ahli Sunnah tidak mempunyai kelompok-kelompok sesat.

Bahkan tidak keterlaluan polisi kerajaan melalui Jakim sendiri yang mengiktiraf ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai mazhab yang sah dianuti toleh rakyat negara ini membawa pengaruh kebencian kepada Syiah juga mempengaruhi warga negara (walaupun) dari parti pembangkang untuk berjuang bersama Isis.

Bahkan Britain secara senyap membenarkan belia Islam di Britain berjuang bersama kumpulan-kumpulan Islam di Syria.

Britain berharap belia-belia Islam yang merupakan warga Britain dapat menyumbang ke arah kejatuhan regim Bashar al Assad.

Tetapi apabila perkara sebaliknya berlaku, media Britain seperti akhbar tabloid Metro memainkan isu kebimbangan dan ketakutan ancaman jihad belia Islam yang kembali untuk melakukan tindakan keganasan di Britain pula.

Ia dilakukan dengan tindakan keganasan dan penciptaan suasana panik dan ketakutan. Dalam hubungan ini, keganasan akan dilihat sebagai satu-satunya cara menentang kekuatan kafir dan kelompok sesat di peringkat sejagat.

Kedua, sama ada imaginasi tentang mereka sebagai pejuang jihad atau pihak lain yang mempunyai strategi yang sama menggunakan jihad dalam Islam bagi mencapai matlamat menjatuhkan kerajaan Syria, pengunaan citra atau imej untuk memanifestasikan imaginasi itu sehingga dapat dibangunkan pandangan awam tentang diri secara individu atau kelompok dan komuniti Islam sebagai dikaitkan dengan keganasan.

Ini kerana dalam melahirkan imaginasi pengganas itu, media cetak dan elektronik memainkan peranan agar pengwajahan, makna dan konotasi dapat diciptakan.

Imaginasi tentang diri dan pihak lain yang terlibat dalam keganasan akan dikaitkan dengan ajaran agama sebagai asasnya.

Ia agar pengwajahan keganasan atau keganasan simbolik yang menghasilkan imaginasi popular akan dikaitkan dengan ajaran agama itu sendiri.

Inilah yang sedang berlaku dalam isu jihad Isis sekarang sama ada di Iraq atau Syria.

Inilah yang menghasilkan lukisan atau konotasi Islam sebagai agama pengganas atau keganasan.

Setelah itu Islam akan dikaitkan sebagai kelompok manusia yang dahagakan darah, gila kuasa, brutal atau kelompok manusia beragama yang menggunakan segala bentuk kebencian dan permusuhan terhadap Barat atau Amerika bagi memperlihatkan keteguhan dan keyakinan keimanannya.

Akhirnya konsep keganasan atau 'terrorism' akan menjadi sebahagian daripada teori konspirasi yang di dalamnya pelbagai tafsiran mengenai kelompok, bangsa dan agama dikembangkan dalam rangka mencemarkan nama dan pengwajahan Islam.

Berkaitan dengannya pakar semiotika Perancis, Jean Baudrillard dalam “The Transparency of Evil” menyatakan ruang interpretasi bebas tanpa identiti membuka ruang bagi tafsiran bebas yang dapat dikaitkan dengan sebarang nama, kelompok, komuniti atau puak.

Ini ditambah lagi dengan kekuatan imagistik dalam mengendalikan pengwajahan media itu sendiri.

Ruang interpretasi bebas inilah yang diisi oleh kekuatan adikuasa AS untuk membangun pandangan dunia mereka mengenai pengganas dan keganasan.

Ini yang berlaku ke atas Jabhat al-Nusra, al Khorasan dan gerakan lain di Syria dan Isis atau individu seperti Osama, Ayman Zawahiri dan terkini Al-Baghdadi sebagai simbol dan ikon keganasan.

Maka melalui simbol dan ikon ini, muncullah imaginasi pihak-pihak tertentu (Barat dalam hubungan ini) yang membayang dan mengwajahkan Islam umpamanya sebagai sebagai agama yang cenderung kepada keganasan.

Maka diciptakan pengelabuan maklumat atau “deception” dan pengelabuan realiti atau hiper-realiti melalui media dalam rangka menghasilkan konotasi dan pandangan awam mengenai Islam atau kelompok tertentu umat Islam sebagai agama pengganas.

Apa yang muncul bersama konotasi ini ialah suatu sistem fitnah terbuka dan dalam sistem ini siapa atau kelompok dan komuniti manapun dapat dituduh dan difitnah sebagai pelaku tindak tanduk keganasan seperti dalam perjuangan Al Qasam dalam mempertahankan tanah air Gaza tetapi dituduh sebagai pertubuhan pengganas.

Imaginasi-imaginasi tentang kekuatan keganasan sebagai ancaman kemanusiaan yang dilakukan oleh mereka yang anti peradaban digabungkan dengan imaginasi-imaginasi tentang diri sendiri sebagai pihak memperjuangkan tugas kemanusiaan dan tugas ilahiah dalam memerangi para pengganas (AS, Israel, sekutu AS di Eropah, Turki dan negara Arab seperti Qatar UAE di samping Isis dan Jabhat al Nusra untuk menyebut beberapa nama) atau lebih mengelirukan rakan dan lawan berada di pihak mana dalam kejadian di Syria dan Iraq.

Dana dan sokongan itu disahkan oleh Naib Presiden AS, Joe Biden semasa berucap di forum John F Kennedy Jr, Institut Politik di Universiti Harvard pada 2 Oktober lepas.

Apa yang menonjol ialah imaginasi hubungan yang binaristik tentang hitam/putih, baik/jahat, adab/tidak beradab dan manusiawi/binatang. – 5 Oktober, 2014.

* Ismail Hashim Yahaya pembaca The Malaysian Insider.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.