PBT turut main peranan dari segi keselamatan kawasan

0

SIBU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memainkan peranan sama penting dengan jabatan keselamatan yang lain terutamanya dalam isu keselamatan negara.

Ahli majlis, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Jimbau Galau berkata, ketika ini isu keselamatan sering menjadi bualan selepas tragedi berdarah di Lahad Datu, Sabah.

Katanya, MDLBS juga harus mengambil bahagian dengan mengusaha inisiatif sendiri untuk memperketat kawalan keselamatan.

“Ini termasuk mengadakan kerjasama bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain seperti melakukan pemeriksaan mengejut ke pusat hiburan di sekitar kawasan seliaan MDLBS,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Jimbau, salah satu isu yang kurang diambil perhatian ialah mengenai kehadiran peniaga asing di bandar ini.

Tambah beliau, sekurang-kurang tiga atau empat premis perniagaan di Sibu Jaya adalah dimiliki peniaga asing.

“Sekali pandang memang tidak ada masalah. Bagaimanapun, ia menjadi masalah apabila kita tidak tahu apakah operasi mereka mengikut saluran yang betul? Selain itu, adakah pekerja mereka terdiri daripada warga asing mempunyai permit kerja sah?,” soalnya