Apa sudah jadi dengan perjanjian integriti pilihanraya Najib? – Kumaresan Aramugam

Tidak sampai 72 jam kejayaan India menghantar kapal angkasa pertama dari Asia ke Marikh, kali ini India sekali lagi menjadi tumpuan dunia selepas Mahkamah Agung Bangalore pada hari ini menjatuhkan hukuman penjara terhadap Ketua Menteri Tamil Nadu, Jayalalithaa Jayaram atas kesalahan memiliki kekayaan melebihi kemampuannya.

Jayalalithaa dijatuhkan hukuman penjara selama 4 tahun dengan denda Rs100 crore dan ini menyebabkan beliau terpaksa meletak jawatan sebagai ketua menteri dengan kadar segera dan tidak boleh bertanding dalam pilihanraya untuk tempoh 10 tahun akan datang (beliau tidak boleh bertanding dalam pilihanraya selama 6 tahun selepas tamat tempoh penjara). Hakim mendapati Jayalalithaa bersalah kerana mengumpul harta secara haram.

Jayalalithaa merupakan ketua menteri yang mempunyai sokongan kuat daripada penyokongnya di Tamil Nadu didapati bersalah memiliki 28 kg emas dan 10 ribu pasang sari serta lebih 750 pasang kasut. Selain itu, beliau juga didakwa memiliki hartanah dengan keluasan melebihi 1,000 ekar di mana semuanya adalah harta di luar kemampuannya sebagai seorang ketua menteri.

Dengan keputusan mahkamah hari ini, ianya sekaligus membuktikan badan kehakiman di India adil dan bebas daripada campur tangan politik dan kuasa pemerintah. Walaupun perlu akur Jayalalithaa adalah penyokong kuat Parti BJP (Parti pemerintah kini) di mana di Tamil Naidu sahaja parti Jayalalithaa, AIADMK menjadi sebahagian parti Pakatan bersama Parti BJP pada pilihanraya 2014 dan menang 30 daripada 39 kerusi parlimen yang dipertandingkan dan membantu BJP untuk membentuk kerajaan pusat.

Namun, seperti yang dijanjikan Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam manisfesto pilihanrayanya, beliau dengan segala kekuatan akan memerangi rasuah tanpa memilih bulu sama ada mereka yang terlibat merupakan pegawai kerajaan, orang kenamaan ataupun ahli politik. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Modi kerana beliau menunaikan janjinya dengan mendukung intergriti untuk membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa pemimpin politik di India.

Namun, di Malaysia sebaliknya yang berlaku. Kita masih menunggu bilakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengotakan janji beliau ketika menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya Transparency International semasa pilihanraya umum ke-13. Ikrar itu menetapkan calon-calon Barisan Nasional akan mematuhi prinsip benar, tatalaku beretika dan akauntabiliti, termasuk tidak menerima atau memberi rasuah. Walau hal sehingga hari ini janji tersebut hanya tinggal sebagai janji dan tidak kelihatan sebarang langkah proaktif yang diambil kerajaan BN untuk memerangi gejala rasuah sama ada melibatkan pemimpin politik, penjawat awam atau golongan berprofil tinggi.

Walaupun badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti MyWatch ada mendedahkan beberapa kes salah laku yang melibatkan pegawai kerajaan yang berpangkat tinggi dan ahli politik namun, laporan tersebut hanya tinggal sebagai laporan dan tiada sebarang tindakan diambil pihak kerajaan dan kes akan ditutup dengan jawapan "No Further Action" (NFA).

Di manakah kebebasan dan integriti badan kehakiman dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia? Hakikatnya badan-badan keadilan di Malaysia masih dicengkam kuasa pemerintah dan kebebasan badan-badan keadilan ini hanya akan tercapai apabila anak-anak muda bersatu dan berani mengambil cabaran untuk menukar kerajaan pemerintah seperti yang berlaku di India pada Pilihanraya 2014. – 29 September, 2014.

* Penulis ialah Exco Pusat Angkatan Muda Keadilan.

* Penulis juga ialah Naib Ketua AMK Negeri Pulau Pinang.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.