Khalid MB terbaik Selangor, kata Khusrin

Khalid MB terbaik Selangor, kata Khusrin

Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor terbaik yang mampu menjalankan pentadbiran negeri tanpa pengaruh politik.

Khusrin berkata, penjawat awam mudah bekerjasama dengan Khalid kerana polisinya jelas dan dasarnya yang telus sehingga hasilnya perolehan rizab naik RM3 bilion.

"Kerja 4 tahun dengan beliau cukup selesa, tidak ada campur tangan politik. Kita bebas buat keputusan mengikut dasar yang ditetapkan.

"Terima kasih atas tunjuk ajar dan didoakan semoga beliau diberikan kekuatan dan kita percaya beliau akan terus dikenang sebagai seorang menteri besar yang melakukan perubahan transformasi ke atas pentadbiran kerajaan," katanya pada majlis perpisahan Khalid di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Sambutan majlis perpisahan juga dilihat meriah apabila kakitangan kerajaan negeri mula dilihat turun membanjiri foyer SUK sejak pukul 4 petang sambil memegang bendera Selangor dan sepanduk "We love Tan Sri Khalid" dan "Tan Sri Khalid Terbaik".

Mereka kemudian memberi sorakan gemuruh sebaik sahaja Khalid turun daripada pejabatnya di tingkat 21 ke lobi SUK dan bersalaman serta bergambar dengan penjawat awam.

Khusrin yang mewakili penjawat awam dalam ucapannya turut terima kasih kepada Khalid di atas tunjuk ajar yang diberikan selain memuji kejayaan Khalid kerana berjaya mengembalikan semula aset air kepada rakyat Selangor.

"Saya dah 30 tahun dan berkhidmat dengan beberapa menteri besar dan ini majlis perpisahahan yang amat luar biasa bagi saya," katanya yang berjanji untuk menyambung legaasi yang ditinggalkan Khalid.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya turut melahirkan rasa bertuah dapat menjalankan tugas memegang amanah rakyat.

"Walaupun ada kalanya exco dan pegawai kerajaan nampak saya agak keras dan terlalu cepat mencelah, tetapi saya ikhlas kerana saya pemegang amanah rakyat Selangor," katanya.

Beliau turut menasihati kakitangan kerajaan negeri supaya mempertingkatkan prestasi kerja dan berhenti daripada melakukan kerja salah.

"Ini bukan masanya ucapkan selamat tinggal. Ini juga bukan masanya kenang-mengenang.

"Ada yang betul kita pertingkatkan. Ada benda yang salah kita hentikan. Dengan itu Selangor akan dapat jadi negeri termaju," katanya.

Pelantikan Khusrin pada tahun 2011 pernah dipertikaikan apabila bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu tidak mendapat restu kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat (PR).

Sebaliknya, pelantikan Khusrin dibuat oleh Ketua Setiausaha Negara melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tanpa melalui Undang-Undang Tubuh Negeri.

Namun beliau menegaskan hanya mengikut arahan dan bertugas sebagai penjawat awam. – 22 September, 2014.