Khalid cabar pengganti pulang keuntungan aset air kepada rakyat Selangor

Tukar MB baru jika Azmin gagal selesai masalah air, kata Khalid

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapan terakhirnya sebagai menteri besar Selangor mencabar penggantinya memulangkan hasil keuntungan aset air kepada rakyat.

Beliau berkata, penggantinya perlu memulangkan aset air bernilai RM14 bilion secara saham seperti yang dijanjikan Pakatan Rakyat (PR) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Ini cabaran kita kepada pemimpin akan datang.

"Jika tidak rakyat akan hukum mereka kerana sudah janji dalam manifesto PRU lalu," katanya ketika berucap di depan kira-kira 1,000 kakitangan awam pada majlis perpisahannya di foyer Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam.

Khalid pada 12 September lalu menandatangani Perjanjian Utama penstrukturan semula industri air Selangor dengan Putrajaya bernilai RM7.8 juta dan hanya melibatkan 3 syarikat konsesi.

Kerajaan negeri menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran dua kali pada 2013 kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sebanyak RM4.34 bilion, Puncak Niaga Sdn Bhd (Puncak Niaga) RM2.47 bilion dan Konsortium Abbas (Abbas) RM992.2 juta.

Manakala Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) yang masih belum dimuktamadkan pengambilalihannya sehingga kini diberikan tawaran berjumlah RM1.83 bilion.

Katanya, antara terma penting Perjanjian Utama ialah suntikan aset kerajaan negeri bernilai RM14.92 bilion ke dalam Air Selangor serta RM2 bilion dana daripada Putrajaya untuk membolehkan kerajaan negeri mengambil alih 4 konsesi air di Selangor.

Beliau berkata, pemindahan aset air kepada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) adalah secara pegangan pajakan selama 45 tahun termasuk semua liabiliti seperti hutang air dan bon Syabas, Puncak Niaga dan Abbas berjumlah RM6.1 bilion bersama aset air milik syarikat konsesi.

Manakala lesen kemudahan dan lesen perkhidmatan akan dikeluarkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada Air Selangor.

"Loji Rawatan Air Langat 2 apabila siap kelak akan dipajakkan kepada Air Selangor bagi membolehkan ia dikendali syarikat berkenaan," katanya.

Beberapa pemimpin PKR termasuk Naib PresidenPKR Rafizi Ramli sebelum ini mempertikaikan kredibiliti Khalid yang didakwa berfungsi sebagai menteri besar "sementara" dan tidak layak menandatangani perjanjian tersebut.

Ketelusan perjanjian itu turut dipertikaikan apabila PKR mendakwa Khalid tidak pernah mendedahkan terma perjanjian itu kepada umum termasuk kepada Pakatan Rakyat (PR) sendiri.

Khalid dalam ucapannya semasa perhimpunan bulanan penjawat awam Ogos lalu menyifatkan penyusunan air Selangor sebagai legasi terakhir yang mahu diwariskannya kepada rakyat Selangor sebelum berundur. – 22 September, 2014.