Kejayaan BN perangi kemiskinan amat menakjubkan, kata Muhyiddin

Jihad membasmi kemiskinan oleh kerajaan persekutuan mencapai kejayaan menakjubkan apabila dapat mengurangkan kadar kemiskisnan rakyat daripada 80 peratus di awal kemerdekaan negara kepada 1.7% sekarang.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pencapaian membasmi kemiskinan itu adalah antara yang paling baik di dunia berbanding dengan negara membangun lain termasuk di negara jiran.

"Dahulu, 80 peratus rakyat negara kita hidup miskin dan kini kita boleh berbangga apabila kadar itu berjaya diturunkan sehingga 1.7% lagi yang dikategorikan sebagai miskin dan. Jihad kerajaan untuk perangi kadar kemiskinan ini amat berjaya dan menakjubkan," katanya ketika merasmikan Anugerah Pengiktirafan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat di Tumpat, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Lembaga Amanah AIM Dr Zubir Harun dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail.

Timbalan Perdana Menteri berkata antara langkah mengurangkan rakyat miskin ialah menerusi pendaftaran e-Kasih yang membolehkan pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada mereka.

Muhyiddin juga berkata sejak penubuhan AIM pada 1989, ia menyalurkan pinjaman sebanyak RM11.06 bilion bagi membantu 347,000 sahabat AIM di seluruh negara.

"Sebahagian besar sahabat AIM bukan sahaja berjaya keluar daripada kemiskinan tetapi turut meningkatkan taraf kehidupan mereka.

"Ini menunjukkan apa yang kerajaan BN lakukan adalah yang terbaik seperti apa yang kita buat dalam menubuhkan AIM," katanya.

Beliau turut memuji sahabat AIM di Kelantan kerana seramai 47,746 peserta yang meminjam berjumlah RM1.56 bilion, dapat membayar pinjaman masing-masing setiap bulan.

"Sebanyak 98% sahabat ini membayar pinjaman mereka dan ini membuktikan komitmen dan kemampuan berdikari dalam meningkatkan hidup mereka," katanya.

Muhyiddin juga menegaskan apa yang kerajaan lakukan adalah mengikut lunas Islam dan menolak dakwaan pembangkang ia tidak halal dan salah mengikut syarak.

Sementara itu, timbalan perdana menteri meminta sahabat AIM yang menjadi pengundi berdaftar di DUN Pengkalan Kubor supaya membantu Mat Razi mempertahankan kerusi BN pada PRK Khamis ini.

"Ini calon terbaik BN yang dipilih dan mampu berkhidmat untuk rakyat DUN Pengkalan Kubor," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk merealisasikan penubuhan Kelab Usahawan Sahabat AIM Tumpat.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

PKR itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mat Razi, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. – Bernama, 22 September, 2014.