Pinda dahulu Akta Hasutan, elak terus disalah guna, kata Aziz Bari

Pinda dahulu Akta Hasutan, elak terus disalah guna, kata Aziz Bari

Pindaan kepada Akta Hasutan 1948 perlu segera dilakukan bagi mengelak undang-undang berkenaan terus disalah guna untuk kepentingan politik pihak tertentu, kata Dr Abdul Aziz Bari.

Pakar Perlembagaan itu berkata, walaupun kerajaan sudah menjanjikan akta berkenaan dimansuhkan pada 2012, namun ia masih digunakan bagi menangani masalah yang tidak berkaitan dengan matlamat kewujudan akta berkenaan.

“Janji mansuh Akta Hasutan dah ada. Paling tidak (sekarang) dikaji. Kalau dikaji sekurang-kurangnya undang-undang itu tidaklah seburuk sekarang.

“Kalau sekarang ini boleh berlaku keadaan seakan disalahgunakan, kajian atau pindaan akan lebih baik. Kita kenal pasti masalah yang ingin kita tangani sebenarnya. Bukan dibiarkan terbuka,” katanya ketika ditemui di Muktamar Nasional Kelapan Wadah di Bangi, Selangor.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan aktivis pelajar Adam Adli Abd Halim berkata tidak takut dengan kemungkinan kehidupannya berakhir di penjara selepas disabitkan atas tuduhan menghasut dan dihukum setahun penjara semalam kerana ucapannya pada forum 13 Mei tahun lalu.

Adam Adli mempersoalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan meminta rakyat Malaysia berdemonstrasi jalanan bagi menggulingkan Barisan Nasional (BN) dari Putrajaya.

Mahkamah semalam membenarkan dia menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Aziz berkata, tafsiran Akta Hasutan kini sudah disempitkan dan tidak selari sebagaimana ia mula diwujudkan pada 1948 dahulu.

Katanya, tiada keperluan bagi akta sedemikian dikekalkan walaupun terdapat pihak tertentu yang mahu ia terus dikuatkuasakan.

"Saya fikir ia untuk menangani masalah yang tidak difikirkan ketika Akta Hasutan itu diluluskan dahulu.

“Akta ini sudah dijanjikan kerajaan untuk dimansuhkan. Saya tak nampak di mana datang kata dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, pendakwaan menggunakan Akta Hasutan adalah satu keputusan politik yang tidak dapat dielakkan Jabatan Peguam Negara.

Katanya, selain Akta Hasutan yang kini menjadi perhatian kerajaan untuk dimansuhkan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) juga perlu dimansuhkan kerajaan.

“Keputusan mendakwa keputusan politik. Jabatan Peguam Negara sebagai agensi kerajaan pastinya tak dapat lari daripada keutamaan dan fahaman politik kerajaan yang memerintah pada satu-satu waktu.

“Akta seperti ini sama seperti Auku dan ISA perlu ditamatkan dan sepatutnya dihentikan," katanya. – 20 September, 2014.