Mat Razi tidak gentar hadapi pertandingan tiga penjuru

0

TUMPAT: Calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail tidak gentar untuk bersaing dalam pertandingan tiga penjuru bagi memastikan BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada pilihan raya kecil 25 Sept ini.

Katanya, jumlah calon bukanlah faktor utama malah pada pilihan raya umum yang lepas calon BN juga memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau berkata pendekatan berkempen beliau adalah bertemu secara terus dengan rakyat bagi mengetahui sendiri keperluan dan masalah mereka yang harus diselesaikan.

“Pendekatan bertemu sendiri dengan rakyat amat penting kerana itu akan jadi punca kemenangan BN dan saya berdoa supaya kemenangan dapat diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK tersebut di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, semalam.

Mat Razi, 48, bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tumpat, berazam untuk meneruskan perjuangan penyandang Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, membawa kecemerlangan BN dan membawa kemajuan di DUN berkenaan.

Sementara itu, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, mengakui kelemahan dirinya yang tidak berkelulusan tinggi tetapi menganggap ia bukanlah penghalang bagi seseorang itu untuk memenangi pilihan raya.

Beliau yang juga Setiausaha PAS kawasan Tumpat berkata fokus utamanya adalah untuk tidak mengecewakan kepercayaan yang diberikan oleh partinya untuk bertanding pada PRK itu.

“Walau apa pun saya bersyukur kerana dipilih sebagai calon untuk mewakili PAS bagi mengembalikan kerusi DUN Pengkalan Kubor ini kepada kami,” katanya.

Katanya, beliau akan mendekati rakyat di semua peringkat dan melakukan yang terbaik. — Bernama