Akta Hasutan, pergolakan PR dan impian anak muda – Safwan Shamsuddin

Saya terpaku seketika apabila mendengar keputusan kes Safwan Anang yang diumumkan pada hari jumaat yang lepas. Selepas pihak pendakwaraya dan peguambela memberikan hujah masing-masing akhirnya hakim memutuskan Safwan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan berkuatkuasa hari tersebut kerana melanggar Akta Hasutan.

“Pertembungan hari ini bukanlah pertembungan antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, tetapi ianya adalah pertembungan antara rakyat dengan regim yang zalim” inilah ungkapan yang dikatakan berbaur hasutan.

Saya mungkin tidak arif bab Perlembagaan Negara tetapi sebagai rakyat biasa saya berhak untuk mempersoal di mana kesilapan yang beliau ucapkan sehingga memaksa hakim menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadapnya.

Sosok anak muda sebeginilah yang negara perlukan. Beliau berusaha untuk memastikan musnahnya kezaliman yang semakin hebat berlaku dalam negara hari ini.

Kita sebenarnya bebas untuk bersuara tetapi tidak bebas selepas pada kita bersuara selagi akta lapuk ini masih dikekalkan. Hari ini undang-undang ini memakan mangsanya.

Jika perlawanan dalam negara ini dahulunya melibatkan ahli politik sahaja tetapi kini ia tidak lagi mengenal siapa mangsanya. Apa jua suara yang jelas tidak memberi kelebihan kepada survival politik kerajaan maka terimalah nasibnya kelak. Hinggakan seorang ahli akademik yang pakar dalam bidang undang-undang mengeluarkan pandangan beliau sendiri juga dianggap sebagai menghasut.

Kita mungkin tidak akan lupa ada seorang bekas ahli parlimen pernah mengugut untuk membakar kitab Bible tetapi hingga kini tidak pernah dikenakan Akta Hasutan kepadanya.

Pernah sebuah akhbar Melayu yang masyhur sebagai medium penerangan utama pihak kerajaan mengeluarkan berita “Apa lagi Cina mahu” apabila kerajaan kehilangan besar undi masyarakat cina pada PRU13 yang lalu. Tidakkah kita sedar ianya juga merupakan satu bentuk hasutan agar ada golongan yang akan membenci pada masyarakat Cina. Tetapi tidak ada tindakan undang-undang yang dikenakan kepada mereka.

Saya yakin pendakwaan di bawah Akta Hasutan ini sebenarnya mahu memberikan tekanan kepada pihak yang sentiasa kontra dengan pihak kerajaan samada dari ahli politik, golongan NGO, mahasiswa dan juga anak muda. Malangnya di saat kita bersama dalam melawan segala tindakan zalim ini percakaran yang berlaku dalam PR sedikit memberikan kesan.

PR perlu sedar undi popular yang mereka perolehi pada PRU13 yang lepas adalah mesej yang jelas agar mereka mampu membawa perubahan dalam landskap politik tanah air. Di saat kerajaan ini semakin menekan sepatutnya kita perlu bersama berganding bahu melawan ketidakadilan yang berlaku.

Saya tidak menafikan dalam sesebuah organisasi tidak semuanya boleh mencapai keputusan yang sama dan sudah pasti masing-masing mempunyai pendapat yang berbeza. Tetapi rakyat melihat dan juga menilai sendiri apa yang sedang berlaku hari ini. Mereka merasakan tidak sepatutnya pergolakan tersebut berlarutan sekian lamanya sehingga menyebabkan keyakinan dan harapan yang diletakkan selama ini semakin terhakis.

Jika perkara sebegini berterusan saya merasakan buang sahaja slogan “Pakatan Harapan Rakyat” yang mereka gunakan dalam kempen PRU13 yang lalu. Slogan tersebut langsung tidak diterjemahkan dalam tindakan yang mereka lakukan hari ini. Pergolakan yang kecil tetapi apabila tidak diselesaikan secara baik kini menjadi barah hinggakan menimbulkan rasa benci dalam kalangan rakyat Malaysia.

Saya mengajak anak muda yang cintakan keadilan dan keamanan agar kita bersama-sama berhimpun dan bersolidariti di Universiti Malaya pada 10 September hari Rabu ini jam 12.00 tengah hari. Himpunan ini adalah mesej jelas kepada pihak kerajaan agar menarik semula pendakwaan terhadap Prof Madya Dr Azmi Sharom dan segera memansuhkan Akta Hasutan. Tunjukkan keberanian anak muda dalam melawan ketidakadilan dan kezaliman. – 8 September, 2014.

* Penulis merupakan Pengerusi Pro Mahasiswa Universiti Malaya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.