Mahkamah Rayuan kekalkan semakan kehakiman pelantikan Kabinet

Ruling sets bad precedent as civil servants will defy court orders, says MP

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman untuk mengisytiharkan pelantikan dua menteri dan tiga timbalan menteri bagi jawatan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum ke-13 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Linton Albert bersetuju tiada kos akan dikenakan terhadap perayu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran (gambar).

Panel itu yang turut dianggotai Datuk Rohana Yusuf and Vernon Ong Lam Kiat, tidak memberikan alasan bagi penolakan itu.

Kulasegaran memberitahu pemberita kemudiannya yang beliau akan merayu.

Kesemua responden diwakili peguam kanan persekutuan Amarjit Singh dan Suzana Atan.

Pada 19 Jun tahun lepas, Kulasegaran memohon perintah bahawa dua menteri berkenaan Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low Seng Kuan serta tiga timbalan menteri iaitu P. Waythamoorthy, Datuk Dr J. Loga Bala Mohan dan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah tidak layak memegang jawatan itu mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, Waythamoorthy meletak jawatan sebagai timbalan menteri.

Dalam permohonannya, Kulasegaran, yang juga naib pengerusi DAP, mendakwa pelantikan pada 15 Mei 2013 adalah tidak sah di sisi Perlembagaan dan patut diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

Beliau berhujah mengikut Perkara 43(2)(b) dan Perkara 43A(1) Perlembagaan Persekutuan, menteri dan timbalan menteri mesti dilantik daripada kalangan anggota Dewan Negara atau ahli Parlimen.

Kulasegaran, yang juga seorang peguam berkata kesemua responden, masing-masing dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri tanpa terlebih dahulu mengangkat sumpah sama ada sebagai anggota Dewan Negara atau ahli Parlimen.

Abdul Wahid dan Low ialah menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Waythamoorthy ialah bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dr Loga Bala ialah timbalan menteri Wilayah Persekutuan dan Ahmad Bashah ialah timbalan menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. – Bernama, 4 September, 2014.