Ahli DAP Ng Wei Aik ditahan kerana PPS

Pemimpin PPS mahu polis minta maaf kerana buat tangkapan haram

Polis menahan pemimpin DAP Ng Wei Aik hari ini berikutan pembabitannya dalam Pasukan Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) yang diisytiharkan haram oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ng yang juga ahli Parlimen Tanjung ditahan pada jam 1 petang ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah George Town seperti yang diperintahkan sebelum ini.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana menjalankan pertubuhan haram.

Ng ialah timbalan komander PPS dan juga ketua Pemuda DAP Pulau Pinang.

Pada Ahad, polis Pulau Pinang menahan 156 anggota PPS selepas mereka menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Kemerdekaan di George Town.

Turut ditahan ialah Pengerusi PPS yang juga exco negeri Phee Boon Poh. Beliau dibebaskan dengan jaminan polis keesokan harinya.

Polis berkata, tangkapan itu dibuat kerana PPS dianggap tidak sah kerana ia tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Phee dijangka tiba di ibu pejabat polis daerah itu jam 3 petang ini untuk disoal siasat berkaitan temuramahnya dengan Malaysiakini yang dibuat semasa dalam tahanan.

Selain Phee, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima RSN Rayer juga ditahan bersama anggota PPS yang menyertai perarakan hari merdeka itu. – 4 September, 2014.