Gantung PPS merugikan masyarakat, kata ahli

Pemimpin PPS mahu polis minta maaf kerana buat tangkapan haram

Ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang mempersoalkan tindakan keras polis terhadap unit itu yang dikatakan membawa banyak kebaikan kepada rakyat Pulau Pinang sepanjang empat tahun lepas.

Pendaftar Pertubuhan (RoS) berkata, PPS ialah pertubuhan yang tidak sah dan polis menahan 155 ahlinya bersama exco negeri Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer, selepas unit berkenaan mengambil bahagian dalam perarakan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri di George Town pada Ahad.

Mengatakan langkah itu mungkin tidak produktif, ahlinya juga menafikan PPS adalah orang penting DAP atau cuba merampas kuasa polis.

Manickam Alagappan memberitahu The Malaysian Insider, semua 9,002 ahli diberitahu yang mereka tidak mempunyai kuasa polis sejak awal lagi.

"Mereka hanya mempunyai kuasa di bawah Seksyen 27 Kanun Tatacara Jenayah yang membolehkan mereka membuat 'citizen arrest' (tangkapan oleh orang awam)," kata ketua penyelaras PPS itu, selepas dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin malam.

"Ahli PPS mesti menyerahkan suspek kepada polis dengan segera, bersama-sama dengan bukti, jika ada. Kami tidak dibenarkan menyoal atau menemubual suspek," kata Manickam, 67, sambil menambah setakat ini, PPS membuat 6 tangkapan.

Polis bersara pangkat sarjan-major yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu menyertai PPS sejak ditubuhkan pada 2011.

Beliau bukan ahli sukarela tetapi kakitangan kerajaan di bawah Jabatan Masyarakat Penyayang negeri.

Berhubung penangkapan pada Ahad, Manickam berkata beliau disoal selama 8 jam pada hari itu dan 2 jam keesokan harinya sebelum dibebaskan.

"Mereka bertanya banyak perkara dan saya beri kerjasama sepenuhnya," katanya sambil menambah PPS tidak menyalahi undang-undang.

Manickam berkata, kecenderungan politik seseorang tidak dipertimbangkan untuk menjadi ahli badan sukarela itu dan mereka tidak dibenarkan membawa senjata.

Katanya, gambar yang diedarkan pengkritik menunjukkan anggota PPS seperti membawa cemeti sebenarnya diambil semasa demonstrasi seni mempertahankan diri.

Seorang lagi ahli PPS, Fitri Che Morat, 36, ahli perniagaan, berkata apa yang dia mahu hanyalah menyumbang kepada kampung halamannya dan menyertai PPS 2 tahun lalu memberinya peluang berbuat demikian.

"Kami kerja bergandingan dengan polis.

"Pada Ahad, saya dan rakan-rakan datang untuk menyambut Hari Kemerdekaan. Kami gembira dapat menyertai perarakan itu, tetapi kemudiannya ditahan," katanya.

PPS melakukan kerja dengan baik

Anak jati Pulau Pinang Praveena Kumari, berusia 30-an, sangat terhutang budi kepada PPS kerana membantunya apabila rumahnya di Bukit Bendera terbakar baru-baru ini.

"Sukarelawan PPS merupakan orang pertama yang datang membantu kami semasa pasukan Bomba dan Penyelamat berusaha melalui jalan sempit ke rumah saya. Mereka sangat membantu," katanya.

Beliau yang bekerja sebagai penyelidik percaya bukan beliau seorang saja terhutang budi kepada PPS kerana pernah melihat PPS membantu penduduk tempatan menyelesaikan pertikaian kecil dan mengawal lalu lintas ketika berlaku kemalangan.

"Ikhlas cakap, PPS memang buat kerja dengan baik," katanya.

Bagaimana idea PPS tercetus

Phee yang bertanggungjawab terhadap PPS berkata, penubuhan unit itu pertama kali dicadangkan pada April 2009 dan dilancarkan pada September 2011 berikutan kebimbangan terhadap keselamatan awam.

"Pada 2008, kerajaan negeri menggesa pengukuhan Rukun Tetangga dan Rela di Pulau Pinang tetapi tiada sebarang tindakan," kata Phee.

"Jadi, kami mengambil keputusan menubuhkan PPS," katanya sambil menambah skop pasukan itu termasuk memberi tindakan segera semasa kecemasan dan bencana, tetapi tidak penguatkuasaan.

Beliau berkata, PPS bermula dengan 937 orang, dibahagikan kepada 46 skuad. Semasa operasinya digantung pada Ahad, terdapat sejumlah 9,002 ahli dan 299 skuad.

Daripada jumlah ini, 56.9% adalah Cina, 33% Melayu, 9.7% India dan 0.4% lain-lain kaum.

Katanya, ahli perlu menjalani latihan termasuk dalam bantuan perubatan kecemasan, CPR dan cara mengendalikan luka dan keretakan tulang, gigitan ular dan serangga.

Mereka juga diberi taklimat mengenai tindakan yang perlu diambil semasa kecemasan dan bencana seperti banjir, ribut, kebakaran dan kemalangan, serta perlu melalui prosedur piawaian operasi tertentu.

"Selain itu, bagi memastikan PPS dijalankan secara menyeluruh demi masyarakat, ahli juga digalakkan bekerjasama dengan agensi seperti polis, bomba, Rela dan lain-lain," kata Phee.

"Kerjasama dengan agensi ini membolehkan PPS menjadi simbol ketenteraman awam," katanya.

Ahli diberi walkie-talkie dan pakaian, termasuk jaket keselamatan dan topi. Mereka juga menerima perlindungan insurans.

RoS baru-baru ini mengisytiharkan PPS haram kerana tidak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata polis akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap unit berkenaan.

PPS terperangkap dalam kontroversi selepas beberapa ahlinya didakwa menyerang seorang aktivis sosial berusia 51 tahun bulan lalu.

Pada 2013, seorang ahli PPS dipecat dan didenda oleh mahkamah selepas menyerang petugas media Guang Ming Daily dan merosakkan kameranya.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menolak dakwaan RoS yang mengharamkan PPS.

Beliau berkata, kerajaan negeri mempunyai kuasa menubuhkan badan atau persatuan seperti itu, sama seperti kewujudan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK). – 3 September, 2014.