Setiausaha agung D-8 temui Muhyiddin hari ini

Asean has to do more in handling disasters, says Muhyiddin – Bernama

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Kumpulan Lapan Negara Membangun bagi Kerjasama Ekonomi (D-8) Dr Seyed Ali Mohammad Mousavi ketika lawatan dua hari beliau ke Malaysia, yang bermula hari ini.

Kenyataan Kementerian Luar menyebut ini adalah kunjungan pertama Seyed Ali ke Malaysia selepas menyandang jawatan itu pada Januari 2013.

Seyed Ali turut dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin dan menteri lain dari bidang keutamaan kerjasama D-8 seperti perdagangan, pertanian, industri, tenaga, pengangkutan dan pelancongan.

"Dalam usaha mempererat kerjasama dengan Organisasi D-8, beliau akan turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia," kata kenyataan itu.

Seyed Ali juga dijadual bertemu Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong.

Sejak ditubuh pada 15 Jun 1997, Organisasi D-8 berusaha mempromosi serta mempertingkat usahasama ke arah mencapai pembangunan sosioekonomi mapan menerusi penggunaan efektif potensi ekonomi dan sosial negara anggota.

Organisasi D-8 dianggotai Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Nigeria, Pakistan, Turki dan Malaysia. – Bernama, 3 September, 2014.