Advertisement

Calon jawatan tinggi kerajaan perlu lalui tapisan keutuhan

Calon jawatan tinggi kerajaan perlu lalui tapisan keutuhan

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), salah satu daripada 5 badan bebas yang memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengesyorkan agar nama-nama calon yang dicadangkan untuk mengisi jawatan tertinggi syarikat milik kerajaan (GOC) atau berkaitan dengan kerajaan (GLC), harus melalui proses tapisan keutuhan suruhanjaya tersebut.

"LPPR berpandangan nama-nama calon yang dicadangkan mengisi jawatan penting seperti Ketua Pegawai Eksekutif di GLC dan GOC harus dikemukakan kepada SPRM untuk melalui proses Tapisan Keutuhan," kata Pengerusi LPPR, Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dalam satu kenyataan hari ini.

Zaitun berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan calon berkenaan mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih dan bersahsiah, berintegriti dan bebas dari jenayah rasuah dan selari dengan proses tapisan yang dilalui oleh peringkat lain pegawai perkhidmatan awam.

Ia merupakan antara 5 saranan digariskan dalam Ulasan LPPR 2013 yang diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) baru-baru ini.

JKMR dan LPPR merupakan 2 daripada 5 entiti mekanisme 'check and balance' yang memantau perjalanan SPRM sejak ia dibentuk pada tahun 2009.

Selain itu, LPPR juga mengesyorkan agar digubal undang-undang khas bagi menangani salah laku penjawat awam yang membelakangi peraturan serta kepentingan awam.

"Penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Negara adalah usaha proaktif dan signifikan bagi membendung isu ketirisan dan kelemahan pengurusan kewangan seperti yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013.

"LPPR juga menekankan keperluan mewujudkan undang-undang khas bagi menangani salah laku penjawat awam yang membelakangi peraturan serta kepentingan awam," kata beliau.

Zaitun berkata, LPPR juga mendapati salah satu kelemahan dalam undang-undang sedia ada ialah ketiadaan peruntukan khusus berhubung liabiliti korporat.

Kata beliau, peruntukan ini perlu bagi memastikan syarikat tidak terlepas daripada pendakwaan dan hukuman walaupun rasuah dilakukan oleh kakitangan atau ejennya, selain turut meluaskan kuasanya kepada sektor swasta, dan bukannya semata-mata terhadap sektor awam.

Malah, LPPR juga mencadangkan mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah atas pertuduhan tatatertib dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan bagi mewujudkan elemen pencegahan.

Kata beliau, LPPR mengambil maklum mengenai isu keengganan atau kelewatan mengambil tindakan tatatertib oleh Lembaga Tatatertib sesuatu Kementerian atau Jabatan kerajaan serta hukuman yang tidak setimpal yang dikenakan terhadap seseorang pegawai awam yang terlibat dengan kesalahan rasuah.

LPPR diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 untuk bertindak sebagai mekanisme check and balance terhadap perjalanan SPRM dalam melaksanakan fungsi dan peranannya.

Ahli LPPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan orang yang berintegriti dan memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing.

Kini, LPPR dianggotai oleh Tan Sri Hamid Bugo, Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, Tan Sri Simon Sipaun, Tan Sri Yong Poh Kon, Tan Sri Ismail Adam, Tan Sri Rashpal Singh, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Datuk Dr Anwar Fazal, Tan Sri Dr Michael Yeoh Oon Kheng, Datin Halimah Mohd Said dan Chelvarajah Ramasamy Reddiar.

Kata Zaitun, LPPR merakamkan ucapan tahniah dan berpuas hati dengan usaha giat SPRM dalam membanteras jenayah rasuah.

Dalam hal ini, LPPR menyokong langkah perubahan dan penambahbaikan yang dilaksanakan untuk mengukuhkan dasar, peraturan, struktur, proses serta modal insan yang melonjakkan prestasi SPRM dan memantapkan operasinya.

Zaitun menambah, tanggungjawab mencegah jenayah rasuah dan penyelewengan kuasa merupakan amanah yang berat dan memerlukan dedikasi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada semua pihak.

“LPPR mengalu-alukan kerjasama dan sokongan padu semua pihak bagi membantu SPRM dalam usahanya mencegah jenayah rasuah demi memperkukuhkan integriti negara dan meletakkan Malaysia di kalangan negara yang maju dan berwibawa,” kata beliau.

Menurut Zaitun, LPPR sedia maklum bahawa penambahbaikan yang dilaksanakan di bawah program transformasi memberi impak yang jelas, antaranya, kadar sabitan kes rasuah meningkat dari 54% pada tahun 2009 kepada 84% pada tahun 2013, sekaligus melebihi standard sabitan antarabangsa.

Ia menunjukkan SPRM berjaya mengekalkan sabitan kes rasuah lebih 80% buat tahun kedua berturut-turut, kata beliau.

Selain itu, katanya, pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh SPRM melakar kejayaan SPRM pada tahun 2013.

"Penilaian Pejabat PBB Berkenaan Dadah dan Jenayah (UNODC) berhubung pematuhan Malaysia ke atas Konvensyen PBB Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC) mengiktiraf 23 amalan baik dan kejayaan usaha memerangi jenayah rasuah," kata beliau. – 24 Ogos, 2014.